CANTIK manis, sopan dan lemah lembut orangnya. Tidak hairan lah, dia mempunyai lebih setengah juta pengikut dalam akaun Instagram (IG).
Berkongsi bagaimana dia bermula di platform media sosial, gadis yang mesra di sapa sebagai Rose ini berkata dia aktif sejak tiga tahun lalu.
“Sementara tunggu panggilan sambung belajar, Rose ada banyak masa. Jadi masa tu mula buat IG dan selalu muat naik gambar. Ramai pula yang ‘like’.
“Pernah sekali, Rose muat naik video tutorial hijab dalam YouTube. Tak sangka dapat banyak tontonan.

“Jadi, selain OOTD (outfit of the day) dan tutorial solekan, Rose muat naik tutorial hijab. Dari situ pengikut semakin bertambah,” ceritanya.
Malah anak sulung daripada dua beradik ini mula menerima satu persatu tawaran sebagai model Muslimah untuk acara peragaan dan iklan komersial.
Lebih beruntung, dia turut dilantik oleh Kolej Universiti KDU (cawangan Glenmarie) sebagai duta kecil sekali gus mendapat tajaan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Sejak dua tahun lalu, IG buka jalan untuk Rose ceburi industri media sosial. Di samping jana pendapatan secara sambilan, dapat timba pengalaman dan luaskan jalinan kenalan.
“Rose berpeluang pergi ke Dubai dan Taiwan untuk promosikan kepada para pengikut lokasi menarik sepanjang berada di sana,” tutur penuntut jurusan perniagaan ini.
Dikecam
Namun tidak semua pengalaman yang dilalui menyeronokkan. Dia tular dalam laman Twitter gara-gara kritikan sinis warganet mengenai rupa parasnya.
Pun begitu, dia tidak melenting sebaliknya lebih selesa berdiam dan membiarkan isu itu reda dengan sendiri.
“Di mata mereka, Rose bukan cantik asli tapi semata-mata sebab solekan tebal.
“Rose tak layan sangat pun kritikan itu dan lebih baik diam saja sebab lama-lama orang akan berhenti bercakap.
“Lagipun bukan semua orang suka kita dan sebenarnya mereka kecam sebab mahukan perhatian.
“Kalau balas maksudnya mereka berjaya tarik perhatian Rose,” ujarnya.
Dalam pada itu Rose mengakui, dulu dia tidak selesa sekiranya terserempak dengan peminat di luar kerana tidak pandai melayan.
Namun sekarang dia sudah lebih tenang dan tahu bagaimana untuk berdepan dengan situasi sebegitu.
“Rose ni pendiam. Apabila terlibat dengan industri ini baru Rose tahu macam mana nak berinteraksi dengan orang ramai.
“Sebab itu dulu apabila terserempak dengan peminat, jadi kekok sebab tak pandai nak layan mereka.
“Tapi sekarang Rose lebih rileks kalau ada yang mahu bergambar bersama atau swafoto,” ujarnya.
Tidak merancang serius dalam kerjaya dunia seni, sebaliknya Rose berkata dia lebih berminat dalam bidang perniagaan.
BIODATA
Nama : Sharifah Rose Sabrina Mohd. Mazfira
Umur : 21 tahun
Asal : Shah Alam, Selangor
Instagram : @sharifahrose_











