Identiti Malaysia Airlines, identiti rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Identiti Malaysia Airlines, identiti rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMITMEN kerajaan untuk mengekalkan identiti Malaysia pada syarikat Malaysia Airlines, meskipun selepas syarikat penerbangan nasional itu dijual atau melalui kerjasama strategik syarikat-syarikat penerbangan lain, harus dipuji.

Ini kerana syarikat yang diasaskan sejak 72 tahun lalu itu (bermula dengan Malayan Airways), sangat dekat di sanubari rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya. Dalam masa sama, ke mana sahaja pesawat milik Malaysia Airlines mendarat, ia pastinya bangga menggalas identiti negara di mata dunia.

Oleh itu, biarpun sudah menjadi milik syarikat lain, identiti ‘Malaysia’ dalam Malaysia Airlines perlu dikekalkan. Bukan sahaja nama, tema warna dan ciri-ciri am logonya yang sememangnya sinonim dengan syarikat itu, juga wajar dikekalkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain mengekalkan nama Malaysia Airlines, mungkin syarikat itu kelak sesuai untuk menggunakan nama ‘Malaysia Air’, ‘Malaysian Airways’ atau ‘Malaysia Aviation. Atau mungkin agaknya lebih molek jika bahasa Melayu diangkat menerusi nama ‘Penerbangan Malaysia’ atau ‘PenerMas’. Ini hanya sekadar beberapa cadangan yang boleh difikirkan.

Tema wau bulan yang menjadi logo korporat Malaysia Airlines, perlu diteruskan tetapi dengan beberapa sentuhan moden selaras peredaran zaman. Dengan kepesatan teknologi maklumat ketika ini, amat sesuai jika motif-motif berasaskan teknologi disulamkan pada logo wau bulan itu.

Apa yang penting, rakyat negara ini mahu identiti Malaysia terus dijulang oleh syarikat yang menerajui Malaysia Airlines kelak. Ini selaras dengan sejarah lebih tujuh dekad yang dibawa oleh Malaysia Airlines dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negara ini dan antarabangsa.

Jika terjadi penjualan atau kerjasama strategik Malaysia Airlines, pihak yang meneruskan kesinambungan syarikat itu paling utamanya perlu memastikan Malaysia Airlines cemerlang dari segi pencapaian. Roh kecemerlangan syarikat itu di bawah teraju Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman sebelum ini harus diteruskan oleh mereka.

Sebagai rakyat, kita doakan yang terbaik kepada Malaysia Airlines. Kita berharap proses pemulihan syarikat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini