Hotel Impiana, media Perak bantu rumah kebajikan - Utusan Malaysia

Hotel Impiana, media Perak bantu rumah kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH 11 Julai – Hotel Impiana Ipoh hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,636 kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita) bagi kegunaan rumah kebajikan itu.

Pekita yang terletak di Taman Kinta Perdana, Lahat dekat sini merupakan rumah kebajikan persendirian yang menempatkan seramai 18 orang warga emas.

Pengarah Jualan dan Pemasaran hotel berkenaan, Normah Ahmad berkata, sumbangan tersebut hasil kutipan RM1 daripada setiap jualan buffet Ramadan hotel sepanjang bulan puasa lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, sebahagiannya pula kutipan Tabung Syawal yang disumbangkan para tetamu serta kakitangannya.

“Program amal ini kita jayakan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

“Kita amat berbesar hati apabila sumbangan yang kecil ini dapat disampaikan kepada pihak Pekita sebagai tanda prihatin,” ujarnya semasa ditemui hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan replika cek sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Hotel Impiana Ipoh, Gerard Sta Maria kepada Timbalan Pengerusi Pekita, Zurina Alias.

Hadir sama ialah Pengerusi KSKMP, Rosli Mansor.

Sementara itu, Zurina memberitahu, pihaknya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan tersebut yang akan diguna bagi membiayai kos operasi harian pusat itu.

Katanya, Pekita yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu bergantung kepada sumbangan waris para penghuni dan orang ramai termasuk keperluan dapur.

“Pekita ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM30,000 setahun tetapi pada masa sama kita perlu mencari sumber tambahan,” ujarnya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin memberi sumbangan kepada rumah kebajikan ini boleh menghubungi Zurina di talian 017-5519 570. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini