KEPINCANGAN parti-parti yang memerintah hari ini berlarutan sejak awal penubuhan kerajaan Malaysia Baharu. Bermacam-macam isu sejak dari mula memegang tampuk pemerintahan negara sehinggalah sekarang. Masa terbuang begitu banyak untuk merungkai setiap masalah yang timbul. Hala tuju pentadbiran negara kini semakin kabur dan berliku-liku hasil daripada pentadbiran tidak cekap. Prestasi pacuan membangunkan sektor ekonomi negara juga terlalu lembab. Penunjuk Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pun masih pada paras 1,600 mata menjangkau berbulan-bulan.
Kini rancangan pembangunan untuk rakyat dan negara juga dilihat sudah diabaikan dan tidak menampakkan tanda-tanda perubahan yang diharapkan. Apa yang berlaku ialah pergeseran dan perlagaan sesama sendiri dalam merebut kuasa. Bagi saya, mereka ini banyak menghabiskan masa dalam perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Terlalu banyak kelemahan dan kelonggaran berlaku dari segi penyampaian polisi-polisi kerajaan, sektor rangsangan ekonomi begitu lembab sekali serta sektor urus tadbir sosial turut menjadi haru-biru.
Berapa lama lagi rakyat perlu menanti suatu perubahan yang positif bagi mengindahkan pemandangan identiti Malaysia Baharu ini? Rakyat amat terkesan dengan cara hidup membebankan hari ini.
MATI LANGKAH
Perlis











