KANGAR 6 Julai – UMNO perlu berhati-hati dengan kemunculan pemimpin serta golongan
oportunis yang lari ketika parti lemah dan kembali semula apabila parti itu semakin kuat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, golongan berkenaan meninggalkan UMNO atau menyepi di saat parti itu jatuh dan sejak akhir-akhir ini mereka mula muncul di samping pemimpin-pemimpin tertentu.
Katanya, beliau tidak bermaksud semua, tetapi mungkin ada segelintir mereka yang kini sudah berbicara soal jawatan, peluang dan posisi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Sebelum masalah ini membarah ia perlu ditangani dengan sebaiknya oleh pimpinan.
Yang mana sebelum ini, ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menang sebagai Presiden, golongan ini tidak terlihat, ketika Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh mereka tidak ada di sisi.
“Tapi hari ini apabila momentum kebangkitan parti mula terlihat, mereka muncul kembali.
Oportunis ini adalah cabaran yang kita terpaksa hadapi,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di Dewan 2020 di sini malam tadi.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man.
Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kangar, Azihani Ali; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Harmizan Abd. Halim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Hasmawati Abdul Hamid.
Sementara itu, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang kembali dilantik sebagai Pengerusi serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. – UTUSAN ONLINE











