Hampiri paras terendah 2009 - Utusan Malaysia

Hampiri paras terendah 2009

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Julai – Harga minyak sawit dijangka boleh mencecah di bawah paras RM1,867 (AS$453) per tan metrik iaitu paras terendah sejak 2009.

Menurut broker yang berpangkalan di Mumbai, Sunvin Group, harga semasa minyak sawit Malaysia ketika ini hanya kira-kira AS$15 (RM61.85) menghampiri paras terendah yang dicatatkan semasa krisis kewangan global lebih sedekad yang lalu.

Katanya, ia berikutan faktor bekalan yang tinggi di sebalik permintaan yang lemah ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, peniaga masih mengambil langkah berhati-hati untuk menghentikan kemerosotan harga berikutan kemungkinan hasil di Indonesia dan Malaysia akan kembali meningkat pada bulan-bulan akan datang kerana musim pengeluaran tinggi sudah bermula.

Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia membekalkan 80 peratus bekalan minyak sawit global.

Sementara itu Pengurus Jualan Institusi di PhillipFutures Sdn. Bhd., Marcello Cultrera berkata, kemerosotan mendadak harga sawit ketika ini mencetuskan kebimbangan.

“Ini kerana pengeluaran dijangka meningkat dari Julai hingga Oktober, namun ketiadaan sebarang permintaan sebenar sehingga Ogos.

“Semua orang sedang menunggu harga untuk stabil. Saya rasa kita semakin hampir,” katanya.

Kontrak hadapan minyak sawit yang paling aktif susut buat hari keempat selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan laporan inventori pada Jun yang menunjukkan penurunan lebih kecil daripada jangkaan.

Harga sawit susut sembilan peratus tahun ini, menambah kepada penurunan dua angka pada 2018 dan 2017.

Niaga hadapan penanda aras di Kuala Lumpur didagangkan pada RM1,930 pada Khamis.

Tambah Cultrera, beberapa pelabur menjangkakan bekalan di Malaysia meningkat kepada 2.5 juta pada Julai melainkan permintaan kembali pulih.

Sementara itu Ketua Penyelidikan Sunvin, Anilkumar Bagani berkata, harga minyak mentah dan pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat (AS) adalah antara faktor risiko yang diberi tumpuan oleh pasaran minyak sawit.

“Dalam fasa pertama pada separuh kedua tahun ini, kami akan terus melihat dagangan harga minyak sawit berada dalam zon rendah iaitu antara RM1,850 dan RM2,115 setan.

“Harga mungkin pulih kepada RM2,100 hingga RM2,350 dalam suku keempat,” katanya.

Bagaimanapun, harga yang rendah mungkin menarik minat pembeli di pasaran utama iaitu India dan China. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini