Hampir sebulan MPM ‘kunci mulut’ - Utusan Malaysia

Hampir sebulan MPM ‘kunci mulut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Hampir tiga minggu isu penangguhan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik (MPM) berlalu namun sehingga hari ini badan induk sukan berkenaan masih terus mengunci mulut berhubung perkembangan terkini.

Berdasarkan perlembagaan badan induk berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penangguhan, MPM perlu memanggil semua ahli gabungan untuk membincangkan tarikh baharu sebelum diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan.

Terkini, Naib Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam memaklumkan kepada media tidak akan menjawab apa jua soalan berkaitan isu berkenaan dalam sidang akhbar mesyuarat pengurus pasukan bagi Sukan Para Asean 2020 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ingin saya maklumkan kepada pihak media sebelum memulakan sidang akhbar ini, kami minta agar tiada soalan berkaitan isu AGM MPM ditanya.

“Bukan pada hari ini untuk menjawab soalan berkaitan isu berkenaan,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan bagi Sukan Para Asean 2020 bersama Ketua Kontinjen, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Pada 29 Jun lalu, Timbalan Presiden MPM, John Ng, berkata AGM bagi penggal 2019-2023 itu ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua 24 ahli gabungan MPM.

Kerusi nombor satu MPM itu hangat diperkatakan apabila bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWFR), mencetuskan kontroversi apabila dilapor menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati seorang lagi calon bagi jawatan No.1 itu, Megat D Shahriman yang menyerahkan sejumlah bukti kepada Pesuruhjaya Sukan bagi menyemak semula kelayakan Khairy. – UTUSAN ONLINE

MEGAT D. Shahriman Zaharudin (kanan) dan R. Subramaniam dalam mesyuarat pengurus-pengurus pasukan ke Sukan Para ASEAN 2020 Filipina di Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini