Hael rehatkan vokal, fokus ilham - Utusan Malaysia

Hael rehatkan vokal, fokus ilham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU seseorang itu menjadikan bidang seni sebagai pelantar untuk mencari rezeki, sudah pasti pilihan tersebut disertakan dengan impian dan visi.

Tanyakan sahaja kepada sesiapa sahaja yang menyandang predikat bergelar penyanyi, memasarkan muzik ke luar negara pasti menjadi cita-cita tertinggi untuk mengembangkan bakat dalam diri.

Disebabkan hal tersebut, ramai yang terlihat selesa untuk berkelana ke luar negara semata-mata demi menjual bakat selain mengharumkan nama tanah air tercinta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, bagi Hael Husaini, memegang status sebagai penyanyi yang berkebolehan mencipta lagu telah membuka jalan berbeza dalam kariernya nyanyian.

Selain berasa bangga melihat lagu-lagu nukilannya dinyanyikan oleh nama-nama besar Malaysia, pemilik nama lengkap Hal Husaini Razmi itu mengakui teruja apabila didekati oleh penyanyi Indonesia yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai pencipta lagu.

“Perasaan saya sudah tentu teruja dan gembira apabila ada penyanyi dari Indonesia yang menginginkan lagu ciptaan saya bersama Ezra Kong.

“Maklumlah, selalunya artis kita yang sering menggunakan komposer dari sana. Sekarang, mungkin giliran kita pula.

“Cuma, disebabkan jadual kerja yang sangat padat, saya masih belum mempunyai masa untuk melanjutkan projek berkenaan. Bagaimanapun, usaha tersebut masih dalam perbincangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya, adakah lagu-lagu ciptaannya kini setaraf dengan lagu-lagu terbitan komposer Indonesia, Hael enggan meletakkan kasta terhadap muzik. Alasannya jitu, muzik adalah universal!

“Bagi saya, muzik tidak mempunyai taraf. Saya bangga dengan muzik Malaysia dan pada masa sama berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan orang luar.

“Sama juga seperti kita mahu belajar tentang muzik daripada pemuzik Indonesia, begitu juga mereka,” ujar Hael sambil tersenyum.

Anta Permana

Mengikut kelaziman, saban kali melepasi separuh tahun peminat dunia muzik tanah air sudah mula berteka-teka tentang lagu yang bakal mara ke pusingan separuh akhir pencak Muzik Muzik, dan seterusnya menyaksikan naskhah terpilih layak ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Untuk edisi ke-34, lagu ciptaan Hael dan Ezra, Anta Permana dikatakan mampu untuk menerobos pentas separuh akhir dan seterusnya ke malam kemuncak.

Namun, ada satu hal tentang lagu tersebut yang menimbulkan perdebatan banyak pihak sejak dicalonkan dan menjuarai carta Muzik Muzik untuk beberapa minggu. Dinyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun sayangnya Penyanyi Nombor Satu negara itu telah meletakkan noktah terhadap AJL sejak kali terakhir menyertainya pada 2007.

Selaku komposer, tentu sekali hasrat hati Hael mahu melihat Siti menyanyikan lagu tersebut jika Anta Permana lolos ke peringkat akhir.

Tutur Hael, lagu tersebut dicipta khas untuk Siti dan tiada sesiapa yang difikirkan sesuai membawakan lagu tersebut ke pentas pertandingan.

“Sejujurnya, lagu tersebut dicipta khas untuk penyanyi asalnya, Siti Nurhaliza. Jiwa pada lagu tersebut memang diinspirasikan untuk beliau.

“Pada pendapat saya, tidak sesuai jika penyanyi lain ‘mengambil’ jiwa lagu tersebut,” katanya jujur,

Secara peribadi, dia mahu melihat Siti menyanyikan Anta Permana jika karya tersebut layak ke pusingan separuh akhir atau malam final.

“Sebagai penyanyi, beliau telah meletakkan lagu tersebut pada kelas tersendiri dan sebagai komposer, saya mahu melihat penyanyi asal menyanyikan lagu yang dicipta.

“Cuma, akhirnya, keputusan untuk menyanyi di pentas AJL terletak pada beliau. Jika peminat rindukan Siti menyanyi dalam AJL, kita sama-sama doakan,” pinta Hael.

Beralih fokus

Diminta mengulas tentang penglibatannya dalam AJL, Hael mahu memberi fokus terhadap kerja-kerja belakang tabir berbanding menyanyikan lagu sendiri.

“Seperti tahun lalu, banyak lagu ciptaan saya dipertandingkan. Namun, tidak manis pula melihat saya sendiri berjaya ke pentas akhir dengan dua buah lagu.

“Jadi kali ini, saya mahu fokus buat lagu untuk penyanyi lain. Insya-Allah, selain Anta Permana, saya juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu nyanyian Aisyah Aziz iaitu Bila Entah dan Datin Alyah, Jutaan Purnama,” katanya.

Melanjutkan bicara, Hael memberitahu, fokusnya terhadap hal-hal belakang tabir didorong oleh beberapa perancangan masa depannya.

“Buat masa ini, mungkin saya akan berehat sebentar daripada menyanyi dan memperbanyakkan aktiviti menulis lagu.

“Ada beberapa perkara yang ingin dilakukan tetapi memerlukan masa agak panjang untuk direalisasikan,” tambahnya.

Sebelum menutup bicara, Hael diusik mengenai keserasiannya dengan penyanyi Dayang Nurfaizah sehingga peminat mewujudkan tanda pagar #HaeYang dalam media sosial.

Lebih lucu, segelintir peminat mahu melihat hubungan Hael dan Dayang berlanjutan ke peringkat lebih dalam iaitu sebagai pasangan suami isteri.

“Tanda pagar yang dicipta tidak dirancang, bagaimanapun kami berasa sangat terharu apabila tanda pagar tersebut diwujudkan kerana peminat mahu mengambil tahu hal kami berdua.

“Berhubung permintaan peminat yang mahukan kami berkahwin, apa yang boleh saya katakan, permintaan tersebut adalah satu doa. Bagaimanapun, saya meletakkan ketentuan jodoh ke tangan Tuhan,” katanya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini