PROJEK EMhub dan Emporis yang diusahakan SCland Development Sdn. Bhd. (SCland) menerima Sijil Hab E-Dagang Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) baru-baru ini.
Terletak di Persiaran Surian Kota Damansara, EMHub adalah hab e-dagang pertama di Malaysia yang menawarkan pusat penyelesaian sehenti di Malaysia dan dilengkapi suite pejabat, bilik pameran dan pusat kemudahan pengedaran, selain ruang runcit di bawah satu bumbung.
Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari berkata, pengiktirafan itu menjadi langkah penting dalam usaha negeri itu menuju ke arah segmen Runcit Baharu dengan Dalam dan Luar Talian (O2O) dan perniagaan Gabungan Dalam dan Luar Talian (OMO) yang semakin berkembang.
“Selain menyediakan kemudahan infrastruktur dan keupayaan e-penunaian, SITEC akan turut memudahkan ekosistem ekonomi digital termasuk gerbang pembayaran, perkhidmatan logistik atau pasaran dalam talian serta kapasiti pembangunan tenaga kerja seperti kelas e-dagang, program pemecut (perniagaan), ruang kerja dan acara di Emporis.
“Perniagaan tradisional juga dapat memanfaatkan ekosistem perdagangan e-dagang dan merentas sempadan secara sehenti bagi meninjau ekonomi digital dengan sokongan dan bimbingan sewajarnya daripada SITEC.
“Ia turut membantu dari segi menjadikan Selangor sebagai hab perdagangan global serta Bandar Pintar yang dapat menggalakkan lebih banyak peluang dan kemajuan ekosistem ekonomi digital yang kondusif,” katanya pada majlis pecah tanah EMHub di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Alcom Group Bhd., Datuk Seri Subahan Kamal berkata, EMHub merupakan ruang sesuai untuk syarikat pemula niaga atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mahu beralih kepada e-dagang.
“Kami dapat memenuhi keperluan semua aspek pemain e-dagang menerusi kemudahan sokongan jalur lebar optik berkelajuan tinggi, keselamatan sepanjang masa, bekalan tenaga yang stabil dan lain-lain,” katanya.
Projek bernilai RM600 juta yang dijangka siap pada 2022 itu melibatkan pembangunan dua buah blok masing-masing setinggi enam tingkat dan menempatkan 247 unit kedai runcit serta pejabat.
Berkeluasan 3.8 hektar, EMHub menyediakan kemudahan kepada penjual untuk memiliki gudang, bilik pameran dan pejabat di bawah satu bumbung sambil mengendalikan perniagaan mereka secara dalam talian.
Selain bilik mesyuarat pelbagai saiz dan dewan pelbagai fungsi di ruang atas bangunan, EMHub turut menawarkan pelbagai kemudahan rekreasi dan gaya hidup seperti taman, bilik permainan, gimnasium di ruang atas selain gelanggang bola keranjang untuk penyewa untuk berehat dan bersantai.











