KUALA LUMPUR 19 Julai – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes membuat perbandingan antara kualiti perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bagi menjelaskan pendiriannya untuk tidak mengenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) lebih tinggi kepada pelanggannya.
“Ia seperti mengatakan Tune Hotel, sebuah hotel bajet harus mengenakan bayaran sama seperti hotel lima bintang Shang-ri La,” katanya dalam tweet pagi ini.
Beliau berkata, jika ada pihak yang mengatakan kedua-dua terminal adalah sama, orang itu harus pergi dan melawat untuk melihat sendiri kualiti perkhidmatan yang disediakan di kedua-dua terminal.
“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa AirAsia tidak membayar cukai lapangan terbang, anda (penumpang) yang membayarnya dan kami akan meneruskan perjuangan untuk pihak anda.
“Kami tidak fikir penumpang yang menggunakan KLIA2 sepatutnya membayar sama dengan mereka yang menggunakan KLIA,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa syarikat penerbangan kos rendah itu selalu meminta kemudahan yang ringkas dengan cukai lapangan terbang yang rendah.
Fernandes semalam menyatakan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa AirAsia perlu membayar sekurang-kurangnya RM40.73 juta kepada anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd. berhubung caj PSC yang tidak dibayar dari Julai hingga Disember tahun lepas. – UTUSAN ONLINE











