KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat mengorak selangkah ke hadapan selepas melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia semalam sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.
DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan secara rasmi oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, adalah manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur, dari peringkat akar umbi hingga elit.
DNA Bola Sepak Malaysia yang dikenali sebagai “The Malaysian Way” atau Cara Malaysia, harus menjadi garis panduan dan rujukan kepada pemain, jurulatih dan tenaga pengajar jurulatih dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi.
Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia, Datuk Sri Subahan Kamal menjelaskan inisiatif berkenaan adalah untuk melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar dengan peta Hala Tuju F:30.
“Kajian mengenai DNA Bola Sepak ini diketuai oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo seawal Oktober 2017 dan ia merangkumi kaedah permainan yang menitik beratkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan.
“Secara umumnya, DNA bola sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak bagaimana untuk bermain dengan corak permainan yang sama dan seragam, dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat senior,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan FAM.
Sementara itu, de Roo menjelaskan Cara Malaysia boleh digambarkan menerusi permainan anak didik Tan Cheng Hoe, yang bergerak sebagai sepasukan dalam transisi dari pertahanan ke serangan selain bertahan secara berpasukan.
Jelasnya, DNA Bola Sepak Malaysia adalah kunci untuk perkembangan pemain dan jurulatih. Ia akan memberikan pendekatan yang konsisten dan akan memudahkan pemain dan jurulatih untuk melaksanakan di setiap peringkat.
“DNA Bola Sepak Malaysia akan melahirkan lebih banyak jurulatih yang berpengalaman, dan akan mengangkat standard pemain Malaysia ke tahap lebih tinggi.”
De Roo menggambarkan corak permainan pasukan kebangsaan kendalian Cheng Hoe sebagai manifestasi DNA Bola Sepak Malaysia, dengan menggunakan transisi dari penjaga gol ke kubu lawan menerusi lapan hantaran membabitkan tujuh pemain dalam masa 20 saat ketika Syahmi Safari menjaringkan gol menentang Thailand pada Piala AFF Suzuki 2018 sebagai contoh terbaik. – K! ONLINE











