Ekonomi gig? Apakah? Sebahagian besar daripada kita masih tidak biasa dengan terma ekonomi gig atau gig economy yang popular sejak 10 tahun lalu di negara-negara barat. Jelas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur, PROF. TS. DR. AHMAD OTHMAN, ekonomi gig berlaku disebabkan desakan untuk mencari pendapatan dalam kalangan mereka yang menganggur akibat krisis ekonomi sekitar 2008/2009. Di Malaysia, menurut data World Bank, 26 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia adalah pekerja bebas dan jumlah ini semakin berkembang dari semasa ke semasa. Apakah impaknya kepada ekonomi negara? Ikuti penjelasan beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON.
Apakah perkembangan ekonomi gig di seluruh dunia?
Ekonomi gig merujuk kepada ekonomi yang mana sesebuah organisasi atau perniagaan beroperasi dengan bergantung kepada pekerja bebas yang diberi kontrak kerja untuk memenuhi tugasan dan bersifat jangka pendek. Sebenarnya, konsep ini telah lama wujud. Ekonomi gig sangat luas dan merangkumi pekerja yang merupakan kontraktor bebas sepenuh masa contohnya, perunding sehingga kepada mereka yang melakukan tugas sebagi pemandu Grab untuk beberapa jam seminggu.
Di Amerika Syarikat (AS), ekonomi gig dianggarkan melibatkan sekitar 34 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dan dijangka meningkat kepada 43 peratus menjelang 2020. Harvard Business Review melaporkan pada 2017 sekitar 150 juta pekerja di Amerika Utara dan Eropah terlibat sebagai pekerja kontrak bebas.
Bagaimana pula perkembangannya di negara ini yang dikatakan berkembang seiring kemajuan platform digital?
Ekonomi yang dipacu sektor pembuatan sama ada automotif, elektrik dan elektronik (E&E) atau petrokimia umumnya menggunakan konsep operasi berasaskan division of labour bersesuaian dengan operasi pengilangan dan dijangka tidak terganggu dengan ekonomi gig kerana stuktur pekerjaan masih bersifat tradisional.
Apabila banyak aktiviti pengilangan, ia memerlukan aktiviti pemasaran, pembungkusan dan seumpamanya. Maka, sektor perkhidmatan akan berkembang. Tahun ini, sektor perkhidmatan dijangka menyumbang 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding sektor pembuatan iaitu 23 peratus. Sektor perkhidmatan amat berkait rapat dengan ekonomi gig.
Bagi negara-negara maju, sektor perkhidmatan adalah penyumbang besar kepada pertumbuhan dan pendapatan, contohnya pada 2015, sektor perkhidmatan menyumbang lebih 70 peratus kepada KDNK bagi beberapa negara maju, AS, 79 peratus, Jepun (71 peratus), Jerman (71 peratus), United Kingdom (78 peratus), Perancis (79 peratus) dan Itali (74 peratus). Jadi, tidak hairanlah sekiranya individu yang terlibat dengan ekonomi gig di negara-negara maju semakin meningkat.
Bagi Malaysia, khususnya sektor perkhidmatan, ekonomi gig akan berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang. Agensi-agensi terlibat dengan hal ehwal guna tenaga seperti Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) harus mengikuti dan meneliti perkembangan dan keperluan guna tenaga ini bagi memastikan undang-undang dan peraturan sedia ada mampu menyokong perkembangannya.
Jadi, adakah ini bermakna kita memerlukan satu peraturan khusus?
Kita perlu mempunyai undang-undang dan peraturan untuk mengawal selia dan memudahcara pelaksanaan supaya semua yang terlibat mendapat manfaat. Hal ehwal kebajikan tenaga kerja dalam ekonomi gig sudah tentu berbeza dengan undang-undang dan peraturan pekerjaan tradisional termasuk sistem percukaian.
Sebagai contoh, mereka yang bergaji bulanan kebiasaannya menggunakan penyata gaji untuk membuat pinjaman perumahan dan kenderaan. Begitu juga dengan pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan cukai pendapatan.
Satu sistem inovatif perlu diwujudkan bagi menguruskan pekerja freelance dalam hal tersebut supaya kedua-dua pihak (pekerja dan kerajaan) mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi gig.
Ini juga boleh dijadikan dokumen bagi urusan seperti pinjaman perumahan dan kenderaan. Oleh itu, sistem Perkeso, KWSP, percukaian dan perbankan yang lebih inovatif dan bersepadu harus diwujudkan untuk pemain ekonomi gig ini. Selain itu, nilai upah juga harus seimbang dengan kepakaran seseorang bagi menyokong inisiatif ekonomi berasaskan pengetahuan.
Bolehkah ekonomi gig memacu ekonomi suatu hari nanti?
Ekonomi gig di Malaysia sedang dan akan berkembang pesat dalam sektor perkhidmatan. Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara maju menjelang 2025. Rata-rata negara maju pula sektor perkhidmatan menyumbang sekitar 70 peratus kepada KDNK.
Bagi Malaysia, sektor perkhidmatan akan terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang. Jadi, tenaga kerja sebagai freelancer sudah tentu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi gig.
Pekerjaan seperti perkhidmatan Grab dan perniagaan dalam talian serta perkhidmatan urut dan spa mudah alih adalah antara tugasan berlandaskan penggunaan laman web dan telefon pintar.
Apakah impak terhadap industri lain yang terkena tempias ekonomi gig?
Ada juga jenis pekerjaan yang terdapat dalam sektor-sektor lain seperti pertanian, pembuatan dan pembinaan tetapi mempunyai tugasan berbeza.
Contohnya, dalam sektor pembinaan, selain projek fizikal melibatkan pembinaan bangunan, terdapat aktiviti lain seperti pelukis pelan, perkhidmatan urusan pejabat tanah dan majlis perbandaran, urusan kelulusan agensi berwajib seperti ejen pemasaran projek, melatih tenaga kerja dan seumpamanya adalah antara tugas freelance yang boleh dilihat dalam perspektif ekonomi gig.











