Duit abang mana duit? - Utusan Malaysia

Duit abang mana duit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Miss Kitty bukan mata duitan. Mata Miss Kitty memang kadang-kadang warna coklat, warna biru dan kadang-kadang warna kelabu, bukan kelabu asap ya. Tapi yang pastinya bukan mata duitanlah, apatah lagi gelap mata.

Tetapi Miss Kitty memang pantang kalau pergi dating, orang lelaki minta bayarkan makan, tengok wayang atau apa-apa saja yang memerlukan duit. Hello, awak yang hensem itu yang ajak dating, awaklah yang belanja. Tak akanlah, kita yang tak ajak awak ini, kita pula yang kena keluar duit?

Sebab apa? Cubalah renung-renungkan cakap Miss Kitty ni, kalau dah terbiasa, asyik orang perempuan saja keluar duit, orang lelaki ini pasti akan serahkan hal-hal keluar duit ni pada orang perempuan. Orang kata naik lemak ke naik kepala ke naik tocang. Macam itulah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dah tahu tak ada duit, duduk diam-diamlah dekat rumah. Janganlah gatal-gatal ajak pergi dating. Pergilah layan kucing tu, si Chemong.

Macam-macam hal dah Miss Kitty dengar daripada kawan-kawan Miss Kitty. Yang dah berkahwin dan yang masih bujang. Yang dah kahwin mengadu, suaminya 100 peratus mengharapkan duit isteri untuk perbelanjaan rumah termasuk minta duit belanja untuk pergi kerja!

Amboi-amboi, senang betul hidup encik abang ni nampak, habis tu tanggungjawab suami sekadar bagi nafkah batin sajakah? Kadang-kadang Miss Kitty kasihan tengok seorang kawan Miss Kitty tu, hendak beli baju sepasang atau beli kasut sendiri pun berkira-kira sebab takut bajet tak cukup bulan tu untuk tanggung anak-anak dan suami!

Mulanya, dia ikutkan sajalah cakap lelaki itu dari sebelum kahwin, dating asyik dia saja keluar duit. Ingat perangai itu tinggal masa zaman bujang je. Rupanya bila dah kahwin, makin teruk semua benda isteri tanggung.

Habis tu duit suami pergi mana? Manalah Miss Kitty tahu, Miss Kitty bukan kawan dengan suami orang. Tapi Miss Kitty rasa mungkin dia simpan kat kawan-kawan atau `kekasih gelap’! Hah, tu dia, tak baik tuduh-tuduhkan. Okeylah Miss Kitty bersangka baik, mungkin simpan untuk naik haji.

Encik abang yang dihormati sekalian, janganlah kedekut dengan anak-anak dan isteri. Dengan keluarga sendiri berkira. Tapi dengan orang luar bukan main lagi macam menatang minyak petrol yang penuh. Tak bagi tumpah. Sayang sangat ketat-ketat. Boleh saja berbelanja ke sana ke sini.

Kalau motor dan kereta tu, boleh pasang sayap sebagai aksesori, mungkin encik-encik abang sanggup pasang harga beribu-ribu ringgit tapi lipstik isteri sebatang tak boleh beli, kata membazir. Amboi, suka benar tengok bibir perempuan lain warna merah, pink, ungu tapi isteri sendiri bila nak pakai lipstik dia cakap macam opera Cina lak.

Ok, Miss Kitty pun bukan kedekut. Bukan tak boleh keluar duit masa dating. Tapi takut pula, nanti dah kebiasaan, Miss Kitty pula dapat tanggungjawab lain pula, menanggung anak teruna orang! Adoi, minta nyawa! minta nyawa!

Miss Kitty – Duitku, duitku jua. Mu sibuk apa?

Amboi, suka benar tengok bibir perempuan lain warna merah, pink, ungu tapi isteri sendiri bila nak pakai lipstik dia cakap macam opera Cina lak. 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini