KUALA LUMPUR 12 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar dua makmal memproses dadah di kawasan elit di ibu negara sekali gus merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM10 juta, kelmarin.
Dalam serbuan bermula pukul 2.25 petang hingga 7.15 malam itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 30 dan 59 tahun dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan negara jiran itu turut ditahan.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah kediaman mewah sekitar Bukit Tunku yang dijadikan makmal untuk memproses dadah.
“Selain itu, kita menahan dua lagi lelaki dalam serbuan berasingan di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada hari yang sama. Kedua-dua suspek dipercayai ingin melarikan diri dengan menggunakan kereta namun berjaya diberkas hasil tindakan pantas pihak polis.
“Menerusi tangkapan berkenaan, kita membongkar sebuah lagi makmal dadah di perumahan elit di Bandar Sri Damansara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kamarul Zaman memaklumkan, antara dadah yang dirampas adalah 59.25 kilogram (kg) syabu, ketamin (18.7 kg), (ganja (1.66 kg), candu (365 gram) dan 197,580 pil disyaki ekstasi.
“Kita juga merampas bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah antaranya 14.72 kg cecair dadah, serbuk dan cecair bahan kimia (92.25 kg) dan serbuk ephedrine (9.96 kg) yang jumlah keseluruhannya mencecah RM10 juta,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata kesemua suspek aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak dua bulan lalu.
“Kesemua tahanan direman selama tujuh hari berakhir 17 Julai ini. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











