SEPANG – Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.05 kilogram yang disorok dalam tapak kasut salah seorang daripada mereka ke Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 38 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi sewaktu berada di kawasan pemeriksaan mesin pengimbas Kastam di pelepasan antarabangsa KLIA2.
Jelasnya, mereka didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan pegawai dan anggota Polis Bahagian Narkotik IPD KLIA memeriksa kedua-dua lelaki itu.
“Pemeriksaan badan terhadap suspek pertama yang berusia 38 tahun menjumpai dadah di percayai jenis syabu di dalam tapak kasut kaki kiri dan kanan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan pada saspek kedua mendapati tiada barang salah namun, dia turut ditahan kerana merupakan rakan kepada suspek pertama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut Zulkifli, syabu yang dirampas seberat 1.05 kilogram dan ia ditimbang bersama kasut ekoran dadah tersebut berada di bahagian tapak selain dadah itu tidak dibaluti plastik.
“Kedua-dua suspek dipercayai akan menaiki penerbangan menuju ke Busan, Korea Selatan yang berlepas pada pukul 2 pagi untuk melancong ke negara tersebut.
“Mereka direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











