PULAU PINANG 12 Julai – Seorang remaja lelaki cedera di bahagian belakang badan akibat dilibas dengan getah paip dan rotan selepas dipercayai menceroboh sebuah kedai runcit di Simpang Empat, Balik Pulau, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, remaja berusia 13 tahun berkenaan dipercayai dipukul oleh dua lelaki termasuk pemilik kedai berkenaan yang berada di luar kedai runcit itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, dalam kejadian itu, suspek yang tidak lagi bersekolah dipercayai menceroboh kedai runcit tersebut melalui bumbung bersama lima rakannya.
“Namun kesemua rakannya berjaya melarikan diri dan dia ditahan lalu dipukul di luar kedai berkenaan.
“Dia mengalami calar di belakang badan dan beberapa bahagian lain kerana dipercayai dipukul menggunakan getah paip dan rotan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ibu suspek turut membuat laporan polis kelmarin kerana tidak berpuas hati anaknya dipukul sehingga perlu mendapatkan rawatan.
“Ibu suspek mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi selepas dimaklumkan pihak hospital dan dia terus membuat laporan kepada pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Anbalagan berkata, pemilik kedai dan seorang lelaki yang dipercayai memukul remaja tersebut telah ditahan polis hari ini untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan dan kes disiasat termasuk mengikut Seksyen 447/324 Kanun Keseksaan.
“Saya menasihatkan kepada orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE











