Tahukah anda, sehingga kini terdapat lebih daripada 50 jenama teh bubble atau kini popular dengan panggilan ‘Boba Tea’ di Malaysia. Kegilaan terhadap teh bubble ini semakin menjadi-jadi selepas ia tular di media sosial.
Kini, rangkaian jenama teh bubble boleh didapati di hampir semua pusat beli-belah terkemuka, malah di SS15 Subang terdapat deretan kedai menjual Boba Tea daripada pelbagai jenama sehingga menimbulkan kesesakan luar biasa di kawasan berkenaan.
Di sebalik kegilaan generasi Y khususnya terhadap teh bubble ini, kerajaan pada 1 Julai lalu menguatkuasakan cukai ke atas minuman bergula dalam usaha menangani masalah obesiti di Malaysia.
Namun begitu, semakan yang dijalankan ke atas harga jualan di cawangan teh bubble mendapati tiada peningkatan drastik dalam harga minuman. Malah, jumlah pelanggan yang sanggup beratur berjam-jam lamanya untuk menikmati secawan teh bubble yang ada di antaranya berharga RM18 secawan semakin meningkat.
Ini kerana pelaksanaan cukai tersebut hanya tertakluk kepada pengeluar ke atas pek minuman sedia di minum yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan tidak melibatkan minuman yang disediakan atau dihidangkan di kedai-kedai dan restoran.
Cukai
Kerajaan telah melaksanakan cukai eksais sebanyak 40 sen seliter bagi minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100 ml.
Ia turut dikenakan ke atas semua minuman berkarbonat, berperisa dan bukan alkohol, dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, cukai yang dikenakan ke bungkusan minuman sedia diminum itu akan menyebabkan kenaikan harga.
Dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Lenggong, Guan Eng berkata, sekurang-kurangnya 10 sen akan dikenakan ke atas minuman dengan kandungan gula yang tinggi yang dibungkus dengan jumlah 250ml, 20 sen bagi minuman 500ml dan 40 sen pada minuman 1 liter.
Langkah itu menurut kerajaan bukanlah satu perkara baharu memandangkan cukai seumpama itu sudah dilaksanakan di negara seperti Arab Saudi, Mexico dan Filipina.
Ketiga-tiga negara berkenaan menyaksikan perubahan drastik dengan pelaksanaan cukai ini. Sebagai contoh, Arab Saudi yang mengenakan 100 peratus cukai ke atas minuman tenaga dan 50 peratus bagi minuman berkarbonat mengalami perubahan dalam pasaran berikutan orang ramai mula berhenti membeli produk-produk berkenaan.
Malah, pengilang di Arab Saudi terpaksa menyesuaikan diri dengan membuat inovasi dan memperkenalkan produk baharu yang lebih sihat sekali gus menampakkan hasil positif kepada negara berkenaan.
Nasib pengeluar gula tempatan
Tetapi, apa pula impaknya kepada pengeluar gula bertapis tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR)?
Pengerusi MSM, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebelum ini memberitahu, pelaksanaan cukai tersebut tidak memberi kesan besar terhadap MSM kerana ia dikenakan ke atas pengeluar minuman.
Namun, dalam perkembangan sama, MSM juga dikhabarkan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk meneroka aliran pendapatan lain dan pasaran eksport dengan mempelbagaikan produk berasaskan gula seperti gula pracampuran, gula cecair serta produk tambah nilai dan produk pemanis yang sihat.
Ia bagaimanapun masih di peringkat kajian bersama pasukan penyelidikan dan pembangunan syarikat induk.
Langkah kerajaan mengenakan cukai gula adalah baik dan dilakukan demi kepentingan kesihatan awam, terutamanya apabila ia berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan diabetes.
Kesihatan
Statistik yang diperoleh menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan Malaysia telah menjadi sebuah negara obes yang mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara paling gemuk di Asia, dengan jangkaan populasi berlebihan berat badan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus.
Walaupun pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula adalah titik permulaan yang baik, tetapi ia tidak mencukupi dan perlu ada pendekatan lebih holistik untuk menyokong dan mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan gaya hidup sihat.
Kerajaan telah mencuba sedaya upaya bagi menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dengan pelaksanaan larangan merokok awal tahun ini dan cukai minuman bergula. Namun begitu, kini tiba masanya untuk penguatkuasaan itu dilakukan. Tak guna juga jika perkara-perkara yang bermanfaat ini dilaksanakan tanpa penguatkuasaan yang betul.
Semoga kualiti hidup rakyat Malaysia bertambah baik dan lebih banyak perubahan dalam gaya hidup dapat dilihat selepas ini.











