KUALA LUMPUR 15 Julai – Usahawan kosmetik yang didakwa pelakon Dazrin berhutang puluhan ribu dengannya, Datuk Rohana Hassan tampil memberi kenyataan balas terhadap artis tersebut yang dikatakan ingkar kontrak perjanjan.
Menurut Rohana juga, dakwaan Dazrin itu turut dilihat cuba memfitnah dan menjatuhkan nama baiknya.
Kata Rohana yang dihubungi Utusan Online, Dazrin sebelum ini dilantik sebagai duta produk Najya Beauty, telah ingkar dengan kontrak perjanjian hitam putih yang telah dipersetujui bersama beberapa tahun dulu dengan tidak melakukan sebarang promosi ke atasnya.
“Memang dalam dalam perjanjian saya sepatutnya membayar Dazrin sebanyak RM60,000 atas pelantikannya sebagai duta. Sebagai permulaan, saya sudah membayarnya sebanyak RM10,000 sebagai wang pendahuluan.
“Baki bayaran iaitu RM50,000 akan dibayar setelah dia menjalankan kerja-kerja promosi yang telah ditetapkan oleh pihak saya.
“Namun memandangkan Dazrin tidak menjalankan kerja yang sepatutnya dia laksanakan, saya tidak membayar baki wang tersebut. Bukan tidak mahu membayar tetapi dia kena buktikan segala kerja yang telah dia lakukan.

“Sehingga kini, dia gagal tampil dengan bukti. Jadi, macam mana saya nak bayar?,” kata Rohana.
Malah kata Rohana lagi, pelakon itu sendiri pernah menipunya sebanyak RM15,000 untuk menjalankan bisnes pakaian sebelum Dazrin dilantik sebagai duta produk.
Katanya, dia menyerahkan wang tersebut kepada Dazrin tanpa ada hitam putih atas dasar kepercayaan yang dibina di antara mereka.
“Saya telah memberi wang tersebut memandangkan dia tiada modal untuk menjalankan bisnes kurta. Atas dasar percaya, kami hanya membuat perjanjian mulut bahawa keuntungan akan dibahagi sama rata.
“Sehingga ke hari ini dia tidak maklumkan langsung kepada saya berkenaan bisnes itu dan saya tidak menerima walau satu sen pun. Sekarang ni, saya yang kena tipu, bukan dia,” jelas Rohana.
Bagaimanapun kata usahawan ini lagi, dia enggan mendedahkan hal tersebut sebelum ini kerana tidak mahu mengaibkan Dazrin selaku artis.
“Saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak mengambil tindakan undang-undang memandangkan dia seorang artis. Saya juga nak jaga nama, apatah lagi dia selebriti popular.
“Saya fikir semua ini boleh diselesaikan secara baik walaupun dia gagal dihubungi tapi bila dia pun dah mulakan bercerita kepada media, apa boleh buat.
“Saya tak mahu bergaduh tetapi tuduhannya itu melibatkan maruah saya sebagai usahawan dan nama baik keluarga saya,” jelas Rohana yang belum terfikir mengambil tindakan undang-undang buat masa ini.
Dazrin dalam kenyataan sebelum ini memberitahu seorang usahawan tidak melunaskan hutangnya bernilai puluhan ribu setelah dilantik menjadi duta produk kecantikan milik usahawan kosmetik. – UTUSAN ONLINE











