KUALA LUMPUR 30 Julai – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkongsi panduan asas berorganisasi melalui akaun Twitter miliknya hari ini.
Kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, asas disiplin dalam berorganisasi adalah hadir ke mesyuarat dan tidak membuat sabotaj terhadap organisasi dari luar.
“Disiplin Organisasi 101: hadir mesyuarat dan kemukakan hujah anda dalam mesyuarat. Bukan buat sabotaj dari luar,” tulisnya ringkas.
Beliau dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PKR yang tidak menghadiri mesyuarat parti itu termasuk Timbalan Presidennya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil baru-baru ini mengingatkan pemimpin parti supaya mengutamakan mesyuarat parti berbanding perkara lain ketika mengulas perkara tersebut.
Untuk mempertahankan diri, Mohamed Azmin berkata beliau menghadiri program kementerian ketika mesyuarat berlangsung manakala Amirudin memberi alasan tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
Mohamed Azmin turut mencetuskan kontroversi semalam apabila mengeluarkan kenyataan menyokong saranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pemerintahan Pakatan Harapan (PH) walaupun konsensus PH sebelum ini bersetuju supaya jawatan itu diambil alih Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang membuat perbandingan dengan disiplin yang diamalkan Dr. Mahathir.
“Tun Mahathir Perdana Menteri 22 tahun. Tambah lagi pada usia 94 tahun. Tapi belum pernah dengar dia tak datang mesyuarat parti sebab sibuk.
“Itu beza orang yang layak jadi Perdana Menteri dan yang sibuk nak sailang orang lain. #JustSaying,” tulis Naib Pengerusi PKR Perlis itu. – UTUSAN ONLINE











