Dakwaan layanan buruk tahanan Imigresen tidak berasas - KP Imigresen - Utusan Malaysia

Dakwaan layanan buruk tahanan Imigresen tidak berasas – KP Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap tuduhan tidak berasas seorang wanita warga Filipina yang mengatakan dua anaknya menerima layanan buruk dalam tahan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya merasakan tidak ada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan, sebaliknya, beliau merasa terpanggil untuk membenarkan petugas media melawat sendiri depot tersebut, hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, antara tuduhan dilemparkan wanita itu adalah barang milik anaknya hilang semasa penahanan mereka sejak 14 Jun lalu, namun setelah disiasat, tiada sebarang kehilangan direkodkan dan anaknya hanya membawa dua beg kecil bersama mereka yang kemudian telah dipulangkan selepas tempoh tahanan mereka berakhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka juga mendakwa makanan yang disediakan amat teruk dan hanya layak dimakan oleh khinzir, sedangkan tahanan telah diberikan sajian diet yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Tahun ini sahaja, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi tujuan penyediaan makanan di semua 18 pusat tahanan Imigresen di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar sebelum sesi lawatan ke DIBJ di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim dan Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Khairul Dzaimee berkata, terdapat banyak lagi dakwaan dilemparkan wanita terbabit bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dikenali sebagai Migrante International and Churces Witnessing With Migrants (CWWM) Filipina itu terhadap Imigresen Malaysia, dan pihaknya perlu menjelaskan situasi sebenar mengenainya.

Katanya, selain peruntukkan sebanyak RM80 juta untuk penyediaan makanan, sebanyak RM59 juta lagi diperuntukkan untuk kos pengurusan operasi dan penyelenggaraan di semua depot tahanan di seluruh negara.

“Sebagai contoh, antara kemudahan dan fasiliti yang disediakan di DIBJ ini adalah taman permainan kanak-kanak yang dilengkapi dengan sudut bacaan, alat permainan, alat tulis, kerusi serta kolam mandi mudah alih.

“Selain itu, setiap blok telah dipasang dengan mesin penapis air agar setiap tahanan dapat meminum air yang bersih manakala bagi tahanan yang disyaki mengalami demam campak akan diberikan air kelapa,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah portal berita atas talian menyatakan NGO antarabangsa iaitu CWWM Filipina mendakwa rakyatnya terdiri daripada dua kanak-kanak dan seorang wanita mendapat layanan buruk semasa di DIBJ.

Dua kanak-kanak terbabit bersama penjaga mereka ditahan dalam satu Operasi Penguatkuasaan Imigresen (Ops Pintu) di Kajang, pada 14 Jun lalu selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah sebelum ditempatkan di DIBJ bersama penjaganya manakala ibu kanak-kanak terbabit yang mempunyai dokumen sah dilaporkan keluar bekerja.

Bagaimanapun selepas mendapat keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kesemua mereka diusir ke negara asal pada 3 Julai lalu dan sebaik tiba di Manila mereka membuat kenyataan negatif mengenai pengalaman dan layanan buruk semasa berada dalam tahanan imigresen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini