Daibochi ambil alih MPP pada harga RM125 juta - Utusan Malaysia

Daibochi ambil alih MPP pada harga RM125 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Julai – Pengeluar pembungkusan plastik fleksibel (FPP), Daibochi Bhd. berjaya mendapat kelulusan pemegang saham untuk mengambil alih seluruh ekuiti Mega Printing & Packaging Sdn. Bhd. (MPP) pada harga RM125 juta.

Pengarah Urusannya, Thomas Lim menyifatkan pengambilalihan itu sebagai satu peluang untuk meletakkan kumpulan itu pada kedudukan sesuai merebut permintaan FPP di Malaysia dan global.

“Pengambilalihan ini yang pertama untuk Daibochi dan akan membuka lebih banyak peluang untuk kami memperluaskan kapasiti pengeluaran, meningkatkan jumlah pelanggan dan mendapat sinergi penting dalam bidang sumber teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemerolehan bahan mentah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, pengambilalihan ini turut meletakkan asas baharu bahagian pasaran kami dalam aspek pembungkusan makanan dan minuman (F&B) di rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Lim, kalangan pelanggannya yang dikuasai oleh multinasional juga akan dilengkapi oleh barisan pelanggan MPP yang merupakan penggiat tempatan.

“Secara bersama, kami menyasarkan untuk menetapkan penanda aras industri dari segi kualiti dan daya saing produk ke arah mengembangkan kedudukan di peringkat serantau,” katanya.

Sama seperti Daibochi, MPP mengeluarkan pembungkusan fleksibel hiliran meliputi terdiri daripada bentuk gulungan dan bungkusan prapembuatan dengan struktur berlapis khususnya bagi kegunaan aplikasi F&B termasuk kuih-muih, makanan ringan, mi dan serbuk minuman.

MPP turut mencatat prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan perolehan sebanyak RM131.7 juta manakala keuntungan bersih mencecah RM6.9 juta.

Kira-kira 90 peratus perolehan bagi tahun kewangan 2018 MPP disumbangkan oleh pelanggan di Malaysia manakala bakinya daripada pasaran eksport Filipina, China, Mauritius dan Kuwait.

Menurut Lim, cadangan pembelian sebanyak RM125 juta itu akan dibiayai menerusi pengumpulan dana dalaman serta pinjaman bank dan dijangka selesai pada suku ketiga 2019.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan usaha penyepaduan yang lancar, menyelaras tenaga kerja kami yang bertambah melebihi 1,300 orang kepada persekitaran serta budaya yang berprestasi tinggi.

“Kami juga akan bekerjasama dalam R&D dengan FPP untuk terus kekal di barisan peneraju bagi membangunkan aspek pembungkusan yang menepati inisiatif pelanggan kami,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini