LONDON – Peter Crouch mengumumkan pesaraannya daripada bola sepak, hari ini.
Bekas penyerang Liverpool dan Tottenham berusia 38 tahun itu menghabiskan musim lalu beraksi bersama Burnley.
Pemain yang melakukan 42 penampilan bersama England, juga pernah bermain di Southampton, Portsmouth dan Stoke City.
“Saya mempunyai masa selama 23 tahun untuk bersedia detik ini, tetapi, sekarang masanya telah tiba, walaupun menyedari anda tidak melakukan sebarang persediaan. Masa sudah tiba untuk diri saya dirujuk kepada bekas pemain bola sepak; saya telah mengharungi perjalanan yang menakjubkan sejak saya berusia 16 tahun,” tulisnya dalam ruangan Daily Mail.
Crouch dijangka mengembangkan kariernya dalam bidang media selepas kejayaannya melakukan podcast bersama BBC.
Dia mengakui, masih berharap dapat terus bermain, tetapi selepas tidak kembali menyertai pasukan pada pra-musim selepas kelahiran anak lelakinya, Jack, Crouch akhirnya membuat keputusan untuk bersara.
“Impian saya ialah untuk bermain sehingga umur saya mencapai 40 tahun, jadi memang menakutkan apabila menyebut perkataan ‘bersara’. Ia menyebabkan saya beremosi dan pelik rasanya tidak membuat persiapan menjelang kempen baharu, tetapi keadaan semasa sejak beberapa musim lalu membuat saya sedar, keputusan ini adalah paling tepat perlu saya lakukan,” katanya.
Crouch bermain bersama England sebanyak 42 kali dan menjaringkan 22 gol, selain beraksi untuk Liverpool dalam Liga Juara-Juara dan final Piala FA serta meledak gol yang membantu Tottenham kembali ke kancah Piala Erolah buat kali pertama dalam empat dekad.
Dia juga pernah beraksi pada dua Piala Dunia bersama England, dan amat dikenali dengan gaya robot sewaktu meraikan jaringannya semasa zamannya bergelar pemain.
Selain itu, Crouch juga antara 28 pemain yang menjaringkan lebih 100 gol dalam Liga Perdana Inggeris, dan memegang rekod pemain terbanyak menyempurnakan jaringan menerusi tandukan. – AGENSI











