SETIAP orang tentu mempunyai hobi dan aktiviti yang disukai bagi mengisi masa lapang mahupun menghilangkan tekanan. Ini kerana dalam menjalani kehidupan kadang kala memerlukan masa untuk diri sendiri.
Begitu juga dengan gadis cantik pilihan S2 minggu ini, Kan May Yuen, 26, yang gemar mengembara ke seluruh dunia bagi mempelajari budaya dan menambah kenalan masyarakat berbilang bangsa.
Aktiviti melancong bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan, malah menambah pengetahuan mengenai adat dan budaya sesebuah negara yang dilawati.
“Seperti ungkapan peribahasa ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ dapat dikaitkan dengan hobi saya ini iaitu merantau dan mengembara ke negara asing untuk melihat kepelbagaian budaya masyarakat di seluruh dunia.
“Setakat ini sembilan negara telah saya lawati iaitu Vietnam, Thailand, Indonesia, Taiwan, Mexico, Singapura, Brunei, Kemboja dan China yang mempunyai pelbagai tempat menarik,” katanya.
Mengulas lanjut, May Yuen yang berkhidmat sebagai eksekutif, bahagian jualan dan pemasaran memberitahu, pengalaman yang diperoleh ketika melancong ke luar negara amat bernilai dan tidak mungkin diperoleh jika tidak menjejakkan kaki ke sana.
“Antara pengalaman paling menarik tidak dapat saya lupakan adalah ketika melakukan aktiviti ‘parasailing’ di ‘My Khe Beach’, Vietnam iaitu saya berpeluang untuk melihat pemandangan matahari terbenam ketika berada di udara.
“Saya bersyukur dapat melihat pemandangan sangat cantik yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Tambahnya, meskipun melancong merupakan aktiviti bersantai dan menenangkan fikiran, namun, pengembara perlu sentiasa berwaspada.
“Apatah lagi bagi wanita. Sekiranya pergi melancong ke luar negara seorang diri, elakkan memakai fon kepala ketika di tempat sunyi kerana kita perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling.
“Selain itu, sekiranya ingin keluar pada lewat malam, pastikan ditemani rakan. Bagi saya sendiri tidak akan keluar malam tanpa orang dipercayai kerana ia amat berbahaya,” katanya.
Berbicara lanjut berhubung hobinya itu, May Yuen yang berasal dari Kelantan berkata, mengembara turut mengajarkan untuk lebih mesra berkomunikasi dengan orang ramai.
“Saya seorang yang pemalu dan adakalanya sukar memulakan perbualan dengan individu tidak dikenali, namun saya belajar untuk menjadi lebih mesra supaya mudah berkawan dan berkongsi maklumat dengan penduduk tempatan.
“Saya berharap suatu hari nanti saya dapat membantu semua orang yang mempunyai minat sama untuk melancong dengan berkongsi tips dan informasi menerusi saluran YouTube sendiri,” katanya.











