Boleh saman tetapi... - Utusan Malaysia

Boleh saman tetapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apakah sebenarnya yang berlaku di Pasir Gudang? Isu ini menjadi pertanyaan banyak pihak terutamanya penduduk di kawasan tersebut yang kini sentiasa hidup dalam keresahan dan ketakutan akibat berulangnya kes pencemaran gas dan kimia di kawasan tersebut dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Lebih membimbangkan mereka apabila kejadian pencemaran ini menyebabkan seorang murid, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, disahkan menghidap penyakit Myo Kimia. Nasib malang yang menimpa kanak-kanak ini lantas membuka mata banyak pihak yang sebelum ini memandang remeh insiden pencemaran di Pasir Gudang dan mula menyedari ada bahaya menanti jika ia tidak ditangani segera.

Bagaimanapun, timbul persoalan apakah pula hak-hak mangsa pencemaran di Pasir Gudang dari sudut undang-undang dan adakah mereka boleh mengambil tindakan terhadap pihak terlibat. Bagi menjawab persoalan ini wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar ROSNI MASRI dan juruvideo AZMAN AHMAD telah menemu bual Timbalan Penasihat Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. MADYA DR. SALAWATI MAT BASIR untuk mendapatkan pandangan beliau sejauh mana berkesannnya tindakan perundangan boleh diambil.

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN: Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, apakah yang boleh dilakukan di Pasir Gudang?

SALAWATI: Isu ini mula mendapat perhatian meluas selepas berlakunya pencemaran di Sungai Kim-Kim pada Mac lalu tetapi sebenarnya ia sudah lama berlaku, apabila pihak kerajaan mengatakan bahawa mereka sudah mencuci sungai berkenaan rakyat terus melupakan isu ini tetapi mereka lupa perlu adanya aspek penguatkuasaan yang dibuat secara berterusan.

Kalau mengikut rekod pencemaran di Pasir Gudang ia sudah berlaku sejak kawasan di situ mempunyai kilang-kilang berunsur kimia. Pada saya, kalau kita mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) sudah mencukupi kerana akta ini menyebut dengan jelas isu penguatkuasaan, pencegahan, penghapusan dan memperbaiki pencemaran alam sekitar supaya kembali seperti keadaan sedia ada.

Saya hendak menarik perhatian semua pihak, di Malaysia kita tiada kesedaran membabitkan pembangunan lestari, kita selalu dengar istilah ini tetapi tiada satu pun pendekatan sama ada dari sudut politik, pendidikan atau masyarakat menghayati maksud pembangunan lestari.

Hari ini kita dapat lihat pihak kerajaan dan komuniti perniagaan serta masyarakat setempat gagal memahami pembangunan lestari sehingga membawa kepada masalah yang berlaku di Pasir Gudang seperti sekarang. Ini bermakna masalah di Pasir Gudang tidak akan selesai dengan hanya menunggu penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS), kesedaran yang lahir dalam diri sendiri sebenarnya boleh menyebabkan setiap penguatkuasaan dilakukan dengan baik.

Tanggungjawab siapa sebenarnya untuk memberikan kesedaran ini?

SALAWATI: Kalau kita lihat dari aspek pembangunan, tanggungjawab itu terletak di bawah kerajaan kerana penguatkuasaan datang daripada pihak kerajaan, PBT dan JAS manakala pihak peniaga serta masyarakat setempat masing-masing bertindak membawa ekonomi untuk pembangunan setempat dan mencari peluang pekerjaan.

Jadi kegagalan kerajaan melalui pendidikan, mengadakan kempen-kempen kesedaran yang berkesan dan kegagalan untuk memastikan pelabur mematuhi peraturan sedia ada menyebabkan perkara ini berlaku, kerajaan adalah kuasa paling besar yang rakyat boleh bergantung harap dan pihak peniaga perlu menghormati perkara ini.

Adakah situasi sekarang pihak pelabur dan kilang tidak menghormati kerajaan?

SALAWATI: Kalau mereka hormat mereka tidak akan buat tetapi sekarang kita boleh lihat sendiri sungai itu sudah mati sejak dua atau tiga tahun lalu. Di mana pemantauan dibuat dan siapakah yang memantau?

Saya tidak mahu menyentuh mengenai akta kerana akta sudah jelas, sekarang kita hanya perlu letak penguatkuasaan kepada PBT. Bagi JAS pula jika ada laporan barulah mereka akan siasat. Kerajaan perlu melihat isu ini dari sudut keselamatan kemanusiaan melibatkan rakyat, selalunya apabila menyentuh mengenai keselamatan insan banyak pihak hanya akan fokus mengenai peluang pekerjaan dan sebagainya tetapi amat jarang melihat aspek alam sekitar yang tercemar.

Saya suka menekankan tanggungjawab besar kerajaan adalah bagi memastikan keselamatan insan atau rakyat untuk menyedut udara segar dan keselamatan di rumah supaya terhindar daripada apa jua ancaman yang berlaku sama ada menerusi udara mahu pun air.

Apakah hak rakyat untuk mendapat keselamatan ini terjamin?

SALAWATI: Di bawah Perlembagaan negara secara jelas menjamin hak-hak rakyat seperti mendapat hak pendidikan, pekerjaan, memilih agama walaupun agama Islam adalah agama Persekutuan dan termasuk dengan penjagaan alam sekitar yang mana menjadi hak rakyat untuk menuntut daripada pemerintah untuk mendapatkan alam sekitar yang bersih.

Kita selalu lupa alam sekitar yang kotor boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerja, masalah kesihatan dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan. Jika kita boleh membuat kempen jangan merokok dan jangan makan gula kenapa pula kita tidak boleh secara agresif melaksanakan kempen keselamatan insan melalui pencemaran alam sekitar.

Cuba kita lihat isu Sungai Kim-Kim dan Pasir Gudang berapa banyak yang marah dengan kerajaan? Malah ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) di sana juga marah kerana kerajaan lambat bertindak. Saya sebenarnya berasa lucu apabila kerajaan meminta sekolah dipasang dengan alat pencemaran dan meminta guru untuk membacanya, itu bukan kerja guru untuk membaca indeks.

Kesalahan ini datang daripada kilang, dan sehingga kini saya masih tertanya-tanya kenapa tiada penguatkuasaan diambil terhadap kilang-kilang berkenaan, ini menunjukkan seolah-olah PBT dan kerajaan masih beranggapan isu pencemaran udara ini isu semusim.

Pencemaran di Sungai Kim-Kim atau di Pasir Gudang bagi saya merupakan bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa, saya jangkakan banyak lagi isu-isu berkaitan keselamatan insan yang akan berlaku di seluruh negara. Pencemaran melibatkan udara boleh merebak dengan lebih cepat dan paling membimbangkan boleh menyebabkan berlakunya penyakit kanser dalam jangka masa panjang.

Selain itu, kalau kerajaan dan PBT benar-benar menguatkuasakan undang-undang sedia ada, tiada sebarang alasan untuk menggubal Akta 127. Menggubal undang-undang bukan mengambil masa dua hari tetapi bertahun-tahun. Jadi apakah tindakan yang boleh diambil sekarang?

Sekarang rakyat mahukan kerajaan mengambil tindakan segera kerana penduduk sedang menderita, dan jika kita melihat dari sudut polarisasi kaum pula tanpa bersikap prejudis kebanyakan mereka ialah orang Melayu walaupun ada pihak meminta tidak dikaitkan dengan politik dan sebagainya tetapi ada pihak yang menghantar komen kepada saya mempersoalkan kenapa kawasan Melayu yang kena? Saya tidak akan jawab isu ini, cuma bagi saya di mana keprihatinan pihak kerajaan dan PBT kepada nasib penduduk di situ.

Kita ambil contoh nasib menimpa Irfan Wafiy yang mengalami sakit seperti Parkinson, pada saya itu satu kekejaman. Itulah penganiayaan dan kezaliman yang boleh berlaku apabila tiada penguatkuasaan serius diambil. Dia hanya satu contoh yang boleh berlaku kepada lebih ramai orang lagi.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan sekarang?

SALAWATI: Apabila berlaku isu seperti ini tindakan tegas perlu diambil tidak kira melibatkan kilang apa pun apatah lagi kilang haram yang sudah seharusnya disita dan ditutup sepenuhnya.

Saya rasa isu pembuangan sisa di sungai Kim-Kim bukan sahaja dilakukan oleh kilang haram tetapi juga kilang berlesen kerana kita tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) untuk melakukan pemantauan di sepanjang sungai, jadi di sini berbalik semula kepada isu penguatkuasaan. Seperti biasa, di Malaysia kita tidak pernah belajar daripada kesilapan apabila sudah terhantuk baru hendak tengadah.

Isu sekarang kenapa tiada pemantauan dibuat di semua kilang-kilang beroperasi di Pasir Gudang? Sepatutnya perlu ada pekeliling baharu bagi menangani masalah ini daripada berlaku lagi. Kalau hendak tunggu akta diperbaharui memang sangat lambat tetapi kita boleh sahaja mengeluarkan pekeliling dan undang-undang untuk kita kuat kuasakan sekarang.

Apa yang perlu ada dalam garis panduan itu?

SALWATI: Saya sangat berharap undang-undang baharu atau pekeliling ini meletakkan tanggungjawab kepada pihak pengilang terhadap semua sisa kilang mereka. Sungguhpun perkara ini sudah dinyatakan dalam akta tetapi di manakah pelaksanaannya dan siapakah yang akan memantau?

Jika tidak ditangani ia akan menyebabkan rakyat marah dan menimbulkan keresahan kepada penduduk Pasir Gudang kerana penempatan dan tempat kerja mereka adalah di situ, jadi di mana lagi mereka hendak pergi?

Apabila penduduk sudah tidak yakin kepada kerajaan dan PBT adakah mereka boleh mengambil tindakan lain dari sudut undang-undang?

SALAWATI: Dari perspektif undang-undang untuk mangsa terlibat mereka hanya boleh membuat tuntutan sivil kalau berjaya membuktikan kilang itu menyebabkan kecederaan kepada mereka.

Mereka boleh menyaman kilang yang terlibat tetapi kita tidak boleh hanya mengagak sebaliknya kita kena spesifik, jika tidak mereka akan menafikan terlibat membuang sisa toksik ini. Di mahkamah pembuktian sangat penting kalau gagal membuktikan dianggap sebagai tiada kes dan membuang masa mahkamah.

Pada saya mereka boleh mengambil tindakan sivil tetapi dengan syarat mereka mampu membuktikan kilang mana yang menyebabkan anak mereka sakit.

Dan jika mereka meneruskan hasrat itu mereka juga akan mengheret sama pihak kerajaan Malaysia kerana gagal memastikan keselamatan penduduk.

Pada masa sama, saya juga ingin bertanya bagaimana boleh wujudnya banyak kilang haram di sana? Jumlahnya ada yang kata 30 dan ada yang kata 40 buah, maksudnya di sini kita tidak mendapat satu statistik tepat berapa banyak kilang haram yang ada. Adakah kita tidak mengira atau hanya membuat agakkan?

Kita perlukan satu data tepat, sekiranya kilang haram sampai 30 buah pada saya itu melampau, apa pihak PBT buat? Ini menunjukkan aspek keselamatan alam sekitar di Malaysia sangat gagal.

Sekiranya tindakan undang-undang sukar dibuat, apakah pilihan lain yang ada kepada penduduk?

SALAWATI: Mereka tiada pilihan lain, itu penempatan mereka melainkan pihak kerajaan mampu bertanggungjawab untuk menggantikan kerugian tersebut, tapi saya tidak nampak usaha itu ke arah itu, sebaliknya mereka lebih kepada usaha untuk memasang alat pengesan gas di sekolah. Pada saya ini bukan penyelesaian terbaik.

Sepatutnya isu keselamatan rakyat seperti ini yang perlu diambil kira oleh kerajaan, bagi saya kerajaan perlu menangani isu pencemaran ini dengan sangat berkesan, kalau tidak rakyat akan hilang kepercayaan kepada mereka.

Kalau ukur indeks keselamatan kemanusiaan dari segi alam sekitar di Pasir Gudang kita sebenarnya sudah gagal kerana kita masih boleh menarik nafas dan mengadakan perbincangan dengan pihak kilang sedangkan penduduk di luar sudah merana.

Pada masa sama, saya tidak nampak pelan kecemasan apabila malapetaka macam ini berlaku dan rakyat tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas ini, yang lebih mengecewakan semua maklumat ini disebarkan melalui kumpulan WhatsApp, tiada satu tatacara atau tindakan berani untuk menutup kawasan tersebut.

Ketika kejadian di Sungai Kim-Kim dahulu saya amat menunggu keputusan sebegini diambil tetapi kita hanya dapat melihat tindakan kerajaan yang sangat lambat.

Saya yakin untuk melihat kesan jangka masa panjang berkaitan kejadian pencemaran ini kita boleh mengambil sampel pada tahun ini dan bandingkan kesannya pada 20 tahun akan datang atau 2039, kemudian kita lihat berapa ramai penduduk Pasir Gudang yang akan mendapat penyakit kanser.

Apa yang boleh dilakukan sekarang di Pasir Gudang?

SALAWATI: Kerajaan perlu melihat isu ini secara serius dan tidak bertindak melindungi mana-mana pihak terutamanya pengilang, mangsa sekarang sangat berharap pembelaan kerajaan terutamanya melibatkan kos perubatan tetapi malangnya sehingga hari ini saya tidak mendengar langsung daripada pihak bertanggungjawab atau kerajaan mengenai bantuan ini sebaliknya kerajaan lebih suka memilih untuk bermesyuarat dengan pihak pengilang.

Saya tidak kata langkah ini salah tetapi mangsa berharapkan pembelaan, tidak membela nasib mangsa hari ini akan membawa padah di masa hadapan. Padah kemanusiaan dan padah politik kerana mangsa akan sentiasa ingat apabila mereka tidak dipedulikan, orang politik mungkin lupa tetapi mangsa tidak akan lupa.

Selain itu, perlu diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk membela nasib mangsa-mangsa ini. Dengan meletakkan alat pengukur kualiti udara di sekolah tidak dapat menyelesaikan isu ini. Bagi saya kerajaan perlu ada gerak kerja dan pelan tindakan untuk mengakhiri penderitaan penduduk Pasir Gudang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini