Bola jaring: Berlatih dengan cara berseronok - Utusan Malaysia

Bola jaring: Berlatih dengan cara berseronok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN – Skuad bola jaring negara menggunakan pendekatan berlatih dalam keseronokan dalam misi mereka mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Filipina, November ini.

Kapten pasukan negara, Nursyafazliyana Mohd Ali berkata, skuad bola jaring dalam proses mempelajari taktikal baharu bagi menghadapi lawan dan pastinya melalui saat sukar.

“Memang kita cuba untuk enjoy the training (seronok menjalani latihan) sebab kita hendak belajar benda baharu, kita tidak mahu guna benda lama seperti 2017 lagi ketika menghadapi lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita hendak belajar benda baharu, kalau susah kita tidak mahu tertekan. Kalaupun tertekan, kita akan kongsi bersama. Dan kita akan buat keadaan tertekan itu kepada sesuatu yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai keupayaan pasukan lawan, Nursyafazliyana berkata, pemain negara tidak mahu memandang rendah kemampuan negara lain memandangkan dalam tempoh dua tahun ini, prestasi pesaing tentunya turut meningkat.

“Memang orang kata, kami akan bertemu lagi pada final dengan pasukan Singapura. Namun, kami tidak boleh memandang rendah pasukan negara lain kerana kita tidak tahu dalam jangka masa setahun atau dua tahun ini, prestasi mereka meningkat atau sebaliknya.

“Buat masa ini, pendekatan yang kami buat, selepas Kejohanan Dunia berakhir semalam, kami menganalisis sendiri permainan Singapura dan daripada situ belajar strategi yang perlu digunakan untuk mengalahkan mereka,” katanya.

Untuk rekod, skuad bola jaring negara menamatkan kemarau 16 tahun tanpa emas di peringkat Asia Tenggara di depan penyokong sendiri, dua tahun lepas dengan menewaskan musuh tradisi Singapura, 65-41. Kali terakhir Malaysia meraih emas ialah di Kuala Lumpur pada 2001. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini