KUALA LUMPUR 5 Julai – Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abd. Aziz yang baru dipecat dari PKR diharap bertaubat dan tidak lagi mengaitkan parti itu dengan dirinya.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu, jika parti mendapati dirinya masih menggunakan nama parti serta mencemarkan imej, tindakan undang-undang akan diambil.
“Kalau PKR ada keperluan untuk saman, kita akan saman.
”Saya harap dia benar-benar untuk berubah. Dalam Facebook dia ada cakap hendak bertaubat dan diharap dia dapat mereformasikan dirinya,” katanya ketika ditemui Utusan Online di lobi Parlimen di sini hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai hadir ke Parlimen kerana menjadi seorang daripada ahli panel Perbincangan Meja Bulat Bersama-sama Ahli Parlimen: Kebebasan Ekspresi, Ungkapan Kebencian dan Kawalan Internet di Malaysia.
Beliau diminta mengulas isu pemecatan Haziq Abdullah oleh biro politik PKR, kelmarin.
Ketika ditanya mengapa proses pemecatan Haziq Abdullah mengambil masa terlalu lama, Fahmi memberitahu, pihaknya mengikut proses yang ditetapkan.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah dua minggu untuk Haziq Abdullah menulis surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin PKR.
“Sebenarnya, mesyuarat biro politik minggu ini dibuat sehari selepas surat tunjuk sebab itu dijawab. Ia dinilai oleh biro politik dan kami tidak berpuas hati, sebab itu kami pecat (Haziq Abdullah),” katanya.
Menurut Fahmi, punca utama Haziq Abdullah dipecat adalah kerana dia menyuarakan isu rasuah yang tidak diberikan bukti kukuh.
“Ia merupakan tuduhan secara terbuka dan itu antara sebab utama dia dipecat,“ ujarnya. -UTUSAN ONLINE











