JELEBU 5 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias mencadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai UMNO sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad benar-benar bimbang mengenai perpecahan Melayu.
Katanya, sebagaimana Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 dan pemimpin-pemimpinnya kembali bersama UMNO, perkara yang sama boleh dibuat oleh Bersatu.
‘Umum juga mengetahui kewujudan Bersatu adalah serpihan daripada parti keramat ini (UMNO). Kewujudan parti itu juga adalah antara punca kaum Melayu semakin berpecah menjadi keseluruhan sebanyak enam parti.
“Kini, saya yakin agenda Melayu Islam sentiasa terpahat di hati UMNO dan Pas amat diterima baik rakyat. Maka, Bersatu boleh kembali ke pangkal jalan untuk kembali mengukuhkan perpaduan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu hari ini mempelawa semua parti termasuk UMNO untuk menyertai parti tersebut bagi mengukuhkan kuasa politik orang Melayu.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menegaskan, penyatuan parti Melayu yang diharapkan Dr. Mahathir tidak akan menjadi kenyataan sekiranya beliau hanya mahu pemimpin UMNO keluar parti untuk menyertai Bersatu.
Ujarnya, sekiranya apa yang diperkatakan beliau itu ikhlas untuk mengukuhkan kuasa Melayu adalah lebih wajar satu kerjasama parti Melayu dilaksanakan.
“Namun, ia tidak mungkin berlaku sekiranya beliau berhajat mahukan pemimpin UMNO keluar parti semata-mata untuk menyertai parti bongsu Pakatan Harapan itu.
“Penyatuan parti-parti Melayu ini, saya pasti akan mengukuhkan kedudukan Melayu. Sebagaimana penyatuan ummah Pas dan UMNO dimeterai, begitu jugalah perkara yang boleh dibuat bersama parti-parti Melayu Islam yang lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











