Bersatu hadir demi rakyat Sarawak - Utusan Malaysia

Bersatu hadir demi rakyat Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Rakyat Sarawak dilihat lebih matang dalam berpolitik dan perlu memberi peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu demi pembangunan yang lebih seimbang terutama di luar bandar.

Menurut Penyelaras Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sarawak, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, adalah tidak tepat menyatakan kedatangan parti itu ke Sarawak adalah untuk memecahbelahkan penduduk negeri Bumi Kenyalang itu.

“Rakyat Sarawak menerima kehadiran Bersatu sangat baik dan mesra serta berharap parti ini mampu menjadi suara rakyat dalam membawa perubahan yang sangat mereka dahagakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun mereka juga tidak akan sesekali mengorbankan kepentingan dan hak sebagai anak negeri, itu sesuatu yang matang kerana mereka tahu bila masanya nak berpolitik dan bukannya setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mohd. Redzuan, beliau ingin menasihatkan beberapa pihak di Sarawak yang beranggapan kemasukan Bersatu ke negeri itu hanya untuk berpolitik dan memecah belahkan rakyat negeri itu sebagai alasan dangkal dan terlalu bersifat politik yang tidak membawa apa-apa makna.

“Dengan adanya Bersatu ia melengkapkan komponen PH seperti di Semenanjung dan paling penting memberi pilihan yang lebih efisien kepada rakyat Sarawak dalam membuat pilihan yang lebih baik demi masa depan mereka.

“Tidak bolehlah menyatakan rakyat Sarawak yang menyokong PH sebagai tidak bijak atau dengan pelbagai gelaran lain kerana ia adalah hak mereka untuk menyokong dan melahirkan kesetiaan kepada mana-mana parti yang dirasakan sesuai,” katanya.

Tambahnya, apatah lagi mereka yang tinggal di luar bandar, mereka sangat berharap pembangunan dan kemajuan lebih bermakna dapat dilakukan demi kehidupan lebih baik kerena mereka telah terlalu lama terpinggir dan diabaikan.

“Bayangkan apabila mereka ini datang berjumpa saya dan mengadu tentang masalah bekalan air bersih yang tidak ada, bantuan kesihatan yang terhad, harga barang terlalu mahal, peluang pekerjaan terlalu sedikit dan pelbagai lagi.

“Saya memang rasa sangat sedih melihat kekurangan mereka dan seboleh-bolehnya cuba membantu sedaya upaya dalam meringankan beban kerana ini adalah juga tanggungjawab saya sebagai menteri,” katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang yang paling utama adalah membantu menaik taraf kehidupan rakyat terutama di luar bandar dan penduduk miskin.

Jelasnya, ini kerana mereka telah terlalu lama hidup sedemikian dan kita tidak mahu generasi seterusnya terpaksa melalui kehidupan sama.

“Dalam hal ini kita sebagai pemimpin perlu lebih tenang dan matang kerana ahli politik wujud kerana rakyat yang memilih kita. Oleh itu kalau perlu untuk kita bekerjasama di luar jangkauan politik kepartian adalah lebih baik kerana paling utama adalah kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini