IPOH – Seramai 200 orang atlet bakal berentap bagi merebut gelaran Mr. Perak pada Perak Super Bodybuilding & Physique Championship 2019 yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini.
Buat julung-julung kalinya pada kejohanan ini kategori wanita dipertandingkan iaitu Women Physic bagi menggalakkan lagi penyertaan golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, sesi pendaftaran dan fotografi akan diadakan di taman tema Lost World of Tambun pada hari Sabtu.
Menurut beliau, pertandingan akhir pula diadakan di Hotel Syuen pada hari Ahad yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 1,000 orang peminat sukan bina badan.
“Penganjuran kali ini juga melibatkan kerjasama langsung daripada kerajaan negeri termasuk sumbangan RM10,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut.
“Menariknya, kejohanan kali ini turut menampilkan jaguh bina badan dunia, Sazali Said yang hadir selaku tetamu jemputan pada kedua-dua sesi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejohanan berkenaan yang diadakan di pejabat beliau di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Bina Badan negeri Perak, Freed Yam dan penasihat sukan Akademi Sukan Perak, Fazwill Wahid.
Sementara itu kata Freedy, kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM5,000 menerusi 17 kategori yang dipertandingkan.
Menurut beliau, tiket masuk bagi menyaksikan pertandingan akhir dikenakan sebanyak RM10 dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.
“Pada masa sama kita juga sedang melobi untuk Perak dipilih menjadi tuan rumah pada Kejohanan Mr. Malaysia 2021.
“Justeru kejohanan ini menjadi medan bagi kita mencungkil atlet-atlet muda,” ujarnya. – K! ONLINE











