KUALA LUMPUR – Sukan berbasikal tidak boleh lagi dianggap lubuk emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina hujung tahun ini apabila hanya mensasarkan satu emas sahaja berbanding 13 emas yang dimenangi di temasya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
Begitu pun skuad berbasikal negara masih boleh menarik nafas lega kerana walaupun hanya satu emas disasarkan berikutan acara trek tidak dipertandingkan kali ini tetapi hampir kesemua pelumba negara diletakkan di bawah kategori A yakni ditanggung sepenuhnya kos penyertaan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Penolong pengurus, Kamarul Aizad Othman berkata, paling melegakan apabila Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 bersetuju meletakkan kesemua 13 pelumba lebuh raya yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita di bawah kategori A.
“Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) amat berterima kasih kepada jawatankuasa pemilihan di atas kepercayaan yang diberikan kepada pelumba negara yang akan membawa cabaran di Sukan SEA 2019.
“Ini selepas mereka mengambil kira prospek pingat yang mampu kita menangi menerusi acara lebuh raya selepas acara trek tidak dipertandingkan kali ini. Asalnya jawatankuasa pemilihan hanya meluluskan empat pelumba lebuh raya lelaki dan satu pelumba lebuh raya wanita sahaja di bawah kategori A.
“Jadi PKBM cukup lega dengan hasil mesyuarat hari ini dan bersyukur permohonan kami dapat dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2019 di sini semalam.- UTUSAN ONLINE











