KUALA LUMPUR 31 Julai – Empat penjenayah bertindak berani apabila merompak sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam tadi ketika premis tersebut masih mempunyai pelanggan di dalamnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.44 malam itu, barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 berjaya dilarikan empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd Sabri Abdullah berkata, kejadian itu dimaklumakan oleh orang awam yang menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Katanya, ketika kejadian terdapat tiga pekerja dan enam pelanggan, termasuk seorang kanak-kanak di dalam premis berkenaan, namun semua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, tiga suspek bersenjatakan tukul besi masuk ke dalam premis, manakala seorang lagi berkawal di hadapan premis dengan memegang objek menyerupai pistol.
“Terdapat seorang pengawal ditugaskan di situ tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana ketakutan berikutan suspek mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya dan dia juga tidak mempunyai senjata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menguls lanjut Mohd. Sabri memberitahu, kumpulan penjenayah terbabit hanya mengambil masa kurang lima minit sebelum mereka melarikan barang kemas berkenaan.
Ujarnya, berdasarkan siasatan suspek menggunakan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankanmengikut Seksyen395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan usaha memburu semua suspek sedang giat dilakukan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Redzuan Mat Salleh di talian 019-271 4100,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE











