Azar cabar diri, mahu watak cacat - Utusan Malaysia

Azar cabar diri, mahu watak cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau diikutkan, pelakon bernama Azar Azmi ini mula mencuri perhatian penonton selepas dia membawakan watak Fatimah yang berwatak gila atau psiko dengan berkesan dalam drama Pujaan Hati Kanda bersama Mira Filzah dan Remy Ishak.

Namun, lakonan wanita tinggi lampai berwajah manis ini mula menjadi magnet kepada penonton dan meniti daripada bibir ke bibir, selepas melakonkan watak seorang pelacur bernama Juita dalam drama Nur 2.

Bahkan ada yang beranggapan, kehebatannya menghidupkan watak wanita penggoda itu mampu menepis lakonan barisan pendukung utama drama terbitan Radius One Sdn. Bhd. arahan pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maka tidak hairanlah kejayaannya menerusi Nur 2 telah mengangkat pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi itu ke peringkat yang lebih jauh sebaris dengan barisan pelakon hebat tanah air, sekali gus rezekinya dalam industri lakonan kini lebih terbuntang luas.

Hakikatnya, keberadaannya dalam industri hiburan bukan baharu, malah dia bukanlah anak seni yang tergolong dalam kelompok yang beruntung.

Dewi Remaja

Hal ini kerana, Azar yang juga merupakan finalis Dewi Remaja 2009/2010 tidak beroleh populariti segera seperti yang dimiliki rakan-rakan Dewi Remaja 2009/2010 yang lain seperti Neelofa, Anzalna Nasir, Izara Aishah bahkan Syatilla Melvin.

“Sebelum ini, saya ada menyertai pertandingan dan menjadi finalis Dewi Remaja bersama-sama Neelofa, Anzalna dan Izara Aishah.

“Namun, sejurus tamat Dewi Remaja, saya berhenti seketika daripada terlibat dalam industri hiburan kerana mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan,” ujarnya yang mengambil masa selama empat tahun berhenti seketika.

Namun, dia tidak perlu gusar dengan populariti lambat yang diraih, kerana bakat lakonan yang mengalir dalam dirinya menjadi kunci kepada penonton untuk menyukainya kini.

Hakikatnya, Azar mula aktif selepas berlakon dalam sebuah drama berjudul, Mr. Boss Mr. Stalker dan mendapat kepercayaan untuk memegang watak utama menerusi drama Cinta Fatamorgana arahan Heykal Hanifah.

Bagaimanapun, dia akui Nur 2 telah memberikan impak yang luar biasa sehingga namanya terus berkilau hingga ke saat ini.

“Sebenarnya, penglibatan saya dalam industri seni bermula sejak tingkatan tiga lagi (2004) tetapi pada ketika itu saya hanya menggalas watak tambahan .

“Sekejap aktif sekejap tidak kerana saya masih bersekolah ketika itu,” ujar anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu.

Dirogol

Menyentuh perjalanan kariernya yang memakan masa lebih 10 tahun itu, Azar mengakui dirinya mengimpikan untuk memegang watak sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, watak cacat mampu mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Saya memang suka mencabar diri untuk melakukan sesuatu perkara di luar kemampuan. Memang semua orang boleh membawa watak cacat tetapi sejauh mana mahu menampakkan karakter itu hidup? Itu yang penting.

“Lagipun, apabila kita membawa watak OKU, kita kena pastikan watak yang dibawa itu betul dari segi pergerakan, mata dan semuanya,” tuturnya.

Tutup kisah itu, Azar diajak berkongsi mengenai drama lakonannya bersama Fattah Amin yang yang berjudul Cetera Hati Diya.

Ungkapnya, dalam drama TV3 arahan pengarah terkenal, Raja Mukhriz itu, dia memegang watak utama sebagai Diya.

“Diya adalah seorang gadis biasa yang mengalami trauma terhadap lelaki akibat dirogol oleh Zakuan (Azrel Ismail). Selepas itu, pelbagai lagi cabaran yang ditempuhi Diya dan baginya, lelaki adalah punca segalanya. Dalam drama berkenaan, Zahil (Fattah) cuba menghampiri dirinya dan kalau nak tahu pengakhiran jalan cerita ini, jangan lupa saksikannya sehingga ke penghujung episod,” kongsinya serba sedikit mengenai drama sebanyak 15 episod itu.

Iras

Sebelum mengakhiri sesi fotografi pada petang itu, sengaja Azar diusik mengenai wajahnya yang dikatakan mempunyai iras dengan anak perempuan sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Long.

Ketawa besar membelah atmosfera saat diajukan kenyataan itu, Azar tidak menafikan tentang hal itu. Malah ceritanya, sebelum ini ada orang yang tertukar dirinya dengan Nurulhidayah.

“Ada suatu hari, semasa mahu bersarapan pagi, ada orang menegur dan bertanyakan, adakah saya kak long? tetapi saya cepat-cepat menafikannya kerana kak long memakai tudung.

“Memang ada sesetengah sudut gambar yang menampakkan kami mempunyai iras yang sama,” ujarnya bercerita sambil tidak henti-henti melepaskan tawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini