PUTRAJAYA 15 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Petronas hari ini memeterai dua memorandum persafahaman (MoU) mengenai kerjasama keselamatan dan kesejahteraan pelantar minyak.
Persefahaman tersebut membuka ruang kedua-dua pihak dalam merintis pendekatan lebih berkesan bagi menangani insiden pencerobohan keselamatan di perairan.
MoU dimeterai antara Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Datuk Mohd. Zubil Mat Som dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petrolem Petronas, Mohamed Firouz Asnan dalam satu majlis di sini hari ini.
Menurut kenyataan APMM, antara pendekatan utama MoU itu adalah membantu menerapkan kesedaran keselamatan kepada komuniti maritim mengenai zon selamat dan risiko memasuki radius 5000 meter pelantar minyak melalui Program Sahabat Maritim.
Selain itu, ia bagi memastikan bahawa komuniti persekitaran operasi minyak dan gas Petronas mempunyai kesedaran tinggi berkenaan keselamatan serta risiko akan dihadapi oleh nelayan.
“Pihak Petronas telah merangka beberapa perancangan khusus agar dapat membantu nelayan tempatan terus menjana pendapatan penangkapan ikan walaupun tanpa melaksanakan aktiviti penangkapan di kawasan pelantar minyak.
“Salah satu program yang sedang dilaksanakan adalah peranti agregat ikan,” jelas kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE











