BARU-BARU ini saya menghadiri suatu sesi dialog terbuka atau town hall yang dianjurkan oleh jawatankuasa kajian pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditubuhkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam dialog tersebut saya berpeluang mendengar perbahasan yang agak panas apabila puak-puak Melayu daripada Pas, UMNO, kumpulan pendidik Islam dan akademik-akademik ‘lama’ Melayu dan ‘macam Melayu’ bersemuka dengan kumpulan dari pendidik kaum Cina yang menegakkan UEC.
Dalam perjumpaan itu saya mendengar empat alasan daripada pihak Melayu kenapa UEC tidak patut diiktiraf. Oleh kerana saya tidak berpeluang memberi pandangan kerana kesuntukan masa, maka saya menulis pandangan saya tentang alasan-alasan yang diberikan.
Saya ingin menyatakan hanya berniat untuk meletakkan alasan-alasan itu pada tempat yang sebenarnya dan bukan niat saya untuk menyokong atau menolak UEC.
BAHASA MELAYU DIANAKTIRIKAN UNIVERSITI AWAM?
Alasan pertama yang diberikan adalah bahawa UEC mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu yang telah ditetapkan perlembagaan dan sistem pendidikan Malaysia.
UEC bukan sahaja menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar ilmu tetapi menggunakan silibus ‘cetek’ dalam subjek Bahasa Melayu.
Saya ingin menjelaskan kedudukan sebenarnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam praktis keilmuan di Malaysia. Sebenarnya para pembaca sekalian, bahasa Melayu telah lama dianaktirikan oleh universiti-universiti awam yang digelar Research University.
Kalau anak tuan-tuan dapat masuk ke universiti awam ini, hampir kesemua tugasan perlu ditulis dalam bahasa Inggeris.
Sebabnya? Syarahan dan kuliah diberikan dalam bahasa Inggeris keseluruhan kursus. Mungkin subjek Pengajian Malaysia, agama Islam dan TITAS, barulah dalam bahasa Melayu. Malah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun bahasa Melayu dipinggirkan. Kenapa terjadi demikian?
KEMARUK RANKING
Ada tiga sebab. Pertamanya, universiti awam kita kesemuanya kemaruk ranking. Untuk ranking yang baik, kertas akademik perlu dalam bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu tak main. Keduanya, universiti awam kemaruk duit yuran pelajar asing yang membayar lima kali ganda banyaknya.
Sebab ketiga, IPTA mengikut Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai Presiden UMNO dahulu yang tukarkan Matematik dan Sains di sekolah rendah dan menengah ke dalam bahasa Inggeris. Maka itu, kenapa puak Melayu mengagung-agungkan bahasa Melayu sedangkan IPTA sendiri menganaktirikannya?
Apa guna tahap tinggi Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kalau tugasan semua di universiti dalam Bahasa Inggeris?
Alasan kedua adalah kemasukan ke IPTA melalui saluran SPM. Saluran UEC tidak diiktiraf dan tidak dibenarkan. Tetapi, tuan-tuan tahu tak yang IPTA membenarkan pelajar negara asing masuk belajar di peringkat ijazah Sarjana Muda?
SPM apa yang golongan Iran, Syria, Yemen dan Afrika ini lalui? Kenapa anak-anak Melayu, Cina dan India rakyat Malaysia yang menduduki UEC tidak dibenarkan masuk ke IPTA tetapi anak rakyat negara Arab dan Afrika dibenarkan?
Sebabnya, dalam permainan ranking lebih banyak pelajar asing maka lebih tinggi markahnya. Yang saya pelik juga adalah ibu bapa anak-anak Melayu, Cina dan India dari UEC membayar cukai dan wang cukai ini membayar gaji pensyarah IPTA tetapi anak-anak mereka tak dapat masuk.
Inilah pepatah Melayu ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’. Terdapat 100,000 anak-anak Melayu yang mengambil saluran UEC. Kita harus fikirkan nasib kesemua anak-anak bangsa Malaysia, bukannya melutut pada bangsa asing kerana ranking dan yuran.
SUBJEK SEJARAH CETEK?
Alasan ketiga penolakan UEC oleh puak-puak Melayu adalah Bahasa Melayu penting untuk kesepaduan kebangsaan. Saya tergelak mendengar alasan ini.
Sebenarnya perpaduan bergantung kepada nilai toleransi, hormat menghormati serta keihsanan saling bantu membantu. Bukannya terletak bulat-bulat pada bahasa tetapi kepada jiwa yang lapang dan rendah diri. Jiwa yang sempit dan angkuh akan merosakkan perpaduan waima apa bahasa sekalipun dipakai.
Alasan terakhir adalah subjek Sejarah yang dikatakan terlalu cetek tahapnya dalam mempelajari budaya dan pensejarahan Melayu.
Saya diberitahu bahawa, pada Tingkatan Satu, pelajar UEC mempelajari perihal negara China. Tingkatan 2, pelajar mempelajari sejarah Barat. Tingkatan 3 mereka mengadap Sejarah Malaysia.
Saya ingin bertanya kesemua ibu bapa rakyat Malaysia, adakah kita ingin mengongkong anak-anak kita untuk hanya bekerja di Malaysia atau adakah kita ingin membuka peluang lebih luas bagi mereka bertebaran mencari rezeki di seluruh dunia?
UEC membuka peluang ini sambil memacak pancang di bumi tanah tumpah darah. Kurikulum dan silibus Sejarah sekolah nasional hanya berpijak di bumi sendiri sahaja. Sistem pendidikan nasional adalah sistem amat baik untuk rakyat Malaysia 30 tahun lalu.
Dalam dunia telefon pintar dan internet pantas, anak-anak kita bakal tinggal dalam dunia tanpa sempadan nyata dan juga dalam alam siber. Untuk itu mereka perlu dilengkapkan dengan ilmu pelbagai budaya dan pelbagai bahasa.
Janganlah sebab sentimen ‘perjuangan bahasa’ menjadi tempurung kepada perubahan masa dan kemajuan serta pembangunan pendidikan anak-anak kita.
Walaupun kesemua alasan yang diberikan itu munasabah sifatnya dari aspek sejarah dan idealism, namun praktisnya telah berubah dan dunia kesempadanan bebas dan alam siber mencabar kita keluar dari kepompong sentimen yang ditelan dek zaman.
PROFESOR DR. MOHD TAJUDDIN MOHD RASDI ialah pensyarah senibina.











