Anwar perlu lebih tenang - Utusan Malaysia

Anwar perlu lebih tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Julai – Semua pihak termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tenang dalam memberikan sebarang reaksi berhubung krisis dalaman yang sedang membadai parti itu ketika ini.

Pengerusi Penggerak Nasional Negeri Kelantan Abd. Aziz Kadir berkata, sebagai nakhoda Anwar harus bijak ketika parti sedang diuji dengan pelbagai serangan dan tohmahan terutama membabitkan orang No.2 parti iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ini.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Ketereh turut bimbang Anwar akan ‘terperangkap’ dalam membuat kenyataan ketika menjawab persoalan media sekaligus membuatkan keadaan dalaman parti menjadi lebih parah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Penasihat dan Ahli Parlimen PKR, saya dengan ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang diujarkan oleh Presiden PKR terhadap Timbalan Presiden PKR.

“Pada hemat saya kenyataan yang dibuat agak kurang ‘jeringas’ (tepat) dan boleh mengundang pelbagai spekulasi yang bisa mengeruhkan lagi keadaan.

“Adalah lebih bijak dan matang jika Anwar mengambil pendekatan menunggu keputusan daripada pihak berkuasa dan setelah mendapat keputusan hasil penyiasatan pihak berkuasa barulah keputusan dan kenyataan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Abd. Aziz yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan negeri ini memberitahu, sehingga kini Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mematahkan hujah dan serangan terhadap Mohamad Azmin.

Katanya, bagaimanapun Anwar seolah-olah ingin bermain tarik tali dan terus membuka ruang untuk pelbagai spekulasi timbul.

“Harus diingat, ramai sedang memerhati tingkah dan keputusan yang dibuat oleh Anwar. Ini bakal memberi impak yang besar terhadap kelangsungan politik tanah air.

“Presiden adalah diibaratkan seperti seorang bapa dalam sebuah keluarga, beliau yang mampu moncorakkan bagaimana kerukunan dan keharmonian sesebuah keluarga.

“Jika seorang bapa gagal untuk memautkan silaturrahim dalam keluarganya nescaya kebahagian tidak akan subur dalam keluarga tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini