Anwar anggap Azmin satu pasukan - Utusan Malaysia

Anwar anggap Azmin satu pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 21 Julai – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu, timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal sebagai pemimpin dalam pasukan PKR di sebalik pelbagai laporan mengenai keretakan hubungan antara mereka.

Beliau berkata, sebagai satu pasukan, mereka akan terus bertemu untuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan dalam pelbagai perkara seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

“(Mohamed) Azmin ialah Timbalan Presiden dalam pasukan (PKR), beliau mempunyai mandat (kerana dipilih sebagai Timbalan Presiden) dalam pemilihan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Soalan seperti ini adalah tidak relevan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Pemukiman Majlis Pimpinan Pusat PKR di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada akan terus bekerjasama dengan timbalan presidennya dalam seruan pelbagai pihak supaya mengukuhkan PKR.

Hubungan Anwar dan Mohamed Azmin dilaporkan semakin retak selepas isu video seks yang tular dalam media sosial baru-baru ini yang mengaitkan pelakunya sebagai individu berjawatan menteri Kabinet.

Anwar menarik perhatian, setiap parti politik mempunyai masalah masing-masing dan PKR mengakui ia juga berdepan masalah tersendiri.

“Kita harus tangani masalah itu. Apa yang kritikal ialah semangat dan kesepakatan untuk bergerak ke hadapan kerana masalah adalah sesuatu yang kecil tetapi di peringkat tertentu ia dibangkitkan secara keterlaluan.

“Kerja baik yang dilakukan oleh kerajaan sering tidak mendapat perhatian kerana tumpuan hanya terhadap aspek negatif,” ujarnya.

Dalam hal itu, beliau berkata, PKR menasihatkan ahli dan penyokong tidak terpesong sebaliknya terus memberi fokus kepada isu rakyat.

Seramai 120 ahli Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PKR menyertai pemukiman itu sejak Jumaat lalu.

Seramai 20 orang yang lain termasuk Mohamed Azmin tidak hadir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini