JAKARTA 12 Julai – Polis daerah Metro Jaya menangkap pelakon Galih Ginanjar yang ditetapkan sebagai suspek dalam polemik ‘ikan masin’, semalam di sebuah hotel di sini.
Lapor Tribun News, jurucakap Perhubungan Awam Polis daerah Metro Jaya, Raden Prabowo Argo Yuwono memberitahu, pihaknya sebelum itu cuba menjejaki Galih di kediamannya namun gagal.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menginap di sebuah hotel di Jakarta Selatan,” katanya.
Raden berkata, polis terpaksa menyerbu bilik penginapan Galih selepas curiga dengan maklumat yang mendakwa Galih keluar makan.
“Namun suspek tidak juga muncul dan kami memutuskan untuk menyerbu biliknya dan terbukti dia ada dan sedang bersembunyi,” tambahnya.
Sementara itu, polis menetapkan isteri suspek, Barbie Kumalasari sebagai saksi kes tersebut selain Pablo Benua dan Rey Utami kerana bersubahat menghasilkan vlog yang memalukan selebriti Fairuz A Rafiq itu.
Galih didakwa menghina Fairuz apabila mendakwa alat sulit wanita itu berbau ikan masin namun pelakon sinetron Cinderella berkenaan menegaskan, ikan masin yang dimaksudkannya adalah makanan.
Fairuz menerusi akaun Instagram miliknya meluahkan rasa syukur selepas polis menetapkan ketiga-tiga individu terbabit sebagai suspek.– AGENSI











