KUALA LUMPUR – Dua bulan selepas bercerai dengan isteri, Bella Astillah, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz kini mula belajar menjaga solat dan menghafal al-Quran.
Perkara tersebut didedahkan oleh pendakwah bebas popular, Ustaz Ebit Lew yang berkunjung ke kediaman penyanyi tersebut di Singapura baru-baru ini.
“Syukur dengar dia kini sangat jaga solat. Mula hafal al-Quran. Nenek dan datuknya orang sangat baik. Begitu juga mak ayahnya baik semuanya.
“Saya doakan Aliff Aziz istiqamah kerana Allah dan persiapan akhirat. Dia diuji. Saya dan kita semua juga diuji Allah,” kata Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau.
Ebit turut memaklumkan Aliff menangis teresak-esak apabila diajukan soalan berkenaan kematian.
“Panjang lebar kami berbual. Saya tanya jika hari ini hari terakhir. Tiada esok, tiada lusa, apa dia ingin cakap pada yang disayangi dan anak yang sangat comel.
“Dia terus menangis teresak-esak. Menahan sebak. Saya jadi sebak,” katanya lagi.
Ebit berkongsi video pertemuan dengan Aliff melalui laman Instagram miliknya, @ebitlew sebentar tadi. Sehingga kini, video tersebut sudah ditonton hampir 500,000 orang.
Terdahulu, rumah tangga Alif dan Bella berakhir apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur 16 Mei lalu.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada 9 September 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden yang kini berusia dua tahun. – K! ONLINE











