Sejak kes seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin agresif untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Di sini, saya ingin mengatakan Akta Hasutan 1948 kekal relevan sebagai satu set undang-undang untuk mengawal keharmonian dan keamanan Malaysia.
1. Akta Hasutan 1948 ini merupakan undang-undang yang paling penting dan signifikan dalam memastikan kestabilan politik serta memelihara keharmonian negara yang berbilang kaum ini.
2. Akta ini juga berperanan sebagai pelindung kepada tiang seri Perlembagaan Persekutuan supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik menghormati setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
3. Sejak kes Wan Ji Wan Hussin, ramai pemimpin PH misalnya, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang mendesak kerajaan memansuhkan akta ini dengan segera.
4. Sama seperti DAP yang tetap dengan pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.
5. Pemansuhan Akta Hasutan 1948 akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada gerakan sivil yang radikal dan liberal dalam memperjuangkan agenda mereka.
6. Walaupun Akta Hasutan 1948 masih wujud, terdapat segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan yang begitu agresif dalam meletakkan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan norma dan budaya masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu Islam.
7. Ketiadaan Akta Hasutan 1948 akan memberi peluang kepada gerakan pluralisme agama, pendukung liberal, penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelbagai lagi menggunakan ruang demokrasi tanpa sebarang sekatan dan had dalam memperjuangkan kepentingan mereka.
8. Tindakan mereka ini akan menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.
9. Pemimpin PH haruslah melihat Akta Hasutan dengan skop yang lebih luas dan peranannya dalam melindungi keharmonian negara.
Penulis merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia











