MELAKA – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) sebentar tadi membawa sebanyak 174 orang penumpang menerusi penerbangan sulungnya menghubungkan Pulau Pinang dan Melaka mulai hari ini.
Penerbangan AK6284 menggunakan pesawat A320 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas pada pukul 1.20 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam pada pukul 2.25 petang.
Ketibaan pesawat itu disambut dengan pancuran air manakala penumpang kemudian disambut oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab; Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Komersial Serantau AirAsia, Amanda Woo.
Melaka merupakan destinasi domestik keenam AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang.

Penerbangan AirAsia menghubungkan Melaka-Pulau Pinang diadakan setiap hari bermula pukul 1.20 petang dari LTAPP menggunakan nombor penerbangan AK6284 dan tiba pukul 2.25 petang.
Penerbangan dari LTAM pula berlepas pukul 2.50 petang menggunakan nombor pendaftaran AK6285 dan tiba di LTAPP pada pukul 4 petang. – UTUSAN ONLINE










