PUTRAJAYA 13 Julai – Sebanyak 92 kes sehingga kini telah disahkan menghidap wabak measles atau demam campak yang membabitkan di dalam kalangan Orang Asli.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu membabitkan kawasan di negeri Kelantan (68 kes), Terengganu (20 kes) dan Pahang (4 kes).
“Kes kematian yang dilaporkan adalah kekal empat kes dengan tiga di Kelantan dan satu di Terengganu dengan semua kes disahkan measles,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, bagi 12 mayat yang ditemukan polis di Kelantan dari 2 Mei hingga 6 Jun, bedah siasat telah dijalankan pasukan forensik dan penyebab kematian masih tidak dapat disahkan lagi.
“Pihak kami sedang menunggu laporan keseluruhan bedah siasat bersama ujian toksikologi, logam berat dan entomologi serta hasil keputusan panel pakar dan semua pihak berkaitan,” katanya.
Beliau menambah, bagi negeri Kelantan, sebanyak 14 orang masih dirawat iaitu 13 kes di wad isolasi manakala satu kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Seramai 88 kes yang bergejala ringan di tempatkan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani, Gua Musang.
“Di Terengganu pula, terdapat 15 kes dirawat di wad isolasi manakala di Pahang, tiada kes yang dirawat di hospital,” ujar beliau.
Selain itu, Dzulkefly menambah, aktiviti imunisasi measles kepada komuniti di kawasan-kawasan terlibat dan lokaliti berhampiran telah dijalankan serta masih diteruskan.
“Di samping itu, pendidikan kesihatan juga diteruskan bagi memastikan penduduk Orang Asli faham mengenai gejala jangkitan, etika batuk dan kepentingan mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan,” tambah beliau.-UTUSAN ONLINE











