KUALA LUMPUR – Sudahlah gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Super, PKNS FC terus dirundung malang apabila lapan tonggak mereka disahkan dijangkiti virus Influenza B.
Skuad Red Ants dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, bintang import, Kpah Sean Sherman, Rodney Akwensivie dan Tamirlan Kozubaev, selain Farhan Abu Bakar antara pemain utama yang masih mendapatkan rawatan doktor.
Perkembangan terbaharu itu menyebabkan perlawanan Liga Super antara PKNS dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Hang Jebat malam esok terpaksa ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan.
“PKNS FC telah memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menunda perlawanan di antara Melaka menentang PKNS FC yang dijadualkan esok (Jumaat), 12 Julai 2019 di Stadium Hang Jebat.
“Permohonan ini dibuat kerana lapan pemain utama PKNS FC sah dijangkiti virus Influenza B dan sedang menerima rawatan doktor.
“Antara pemain tersebut adalah Kpah Sean Sherman, Rodney Akwensivie, Tamirlan Kozubaev dan Farhan Abu Bakar.
“MFL telah meluluskan permohonan ini dan jadual baru perlawanan akan dimaklumkan kelak.
“PKNS FC mengucapkan terima kasih kepada MFL dan Persatuan Bola Sepak Melaka United – MUSA di atas keprihatinan ini,” tulis PKNS dalam kenyataan tersebut.
Khabar kurang gembira itu hadir hanya tiga hari selepas PKNS tumpas 2-3 kepada Pahang di Kuantan, malah anak-anak Datuk K. Rajagobal masih gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima aksi terakhir.
Mereka turut tewas 1-2 kepada Terengganu (5 Julai), seri 2-2 menentang PKNP FC (25 Jun), tumpas 2-3 di tangan Kedah (18 Jun) dan kalah 4-5 kepada Felda United pada 14 Jun. – UTUSAN ONLINE











