PILAU PINANG 7 Julai – Jabatan Perikanan negeri menahan sebanyak empat buah bot pukat tunda kerana melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan di perairan negeri ini awal pagi semalam.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, kesemua bot itu ditahan pasukan Penguatkuasaan Perlindungan Sumber jabatan tersebut di 2.6 batu nautika dari Pulau Kendi dan 2.9 batu nautika dari Pulau Rimau, dekat sini kira-kira pukul 1.20 pagi.
Menurut beliau, turut ditahan tiga lelaki tempatan dan sembilan lelaki warga Thailand berusia antara 30 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai nelayan di empat bot berkenaan.
Tambahnya, penahanan bot-bot itu hasil risikan dan intipan pihaknya sejak tiga hari lalu selepas menerima aduan daripada orang awam berkenaan aktiviti pencerobohan bot-bot nelayan tersebut.
“Siasatan mendapati bot-bot itu menangkap ikan di kawasan kurang 15 batu nautika daripada pantai terdekat yang mana ini merupakan kawasan yang tidak dibenarkan untuk bot nelayan kelas C menunda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Noraisyah berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 700 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan hasil tangkapan empat empat bot itu dan merampas bot tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM2 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, pihaknya turut menahan dua buah sampan pukat tunda kenka bersama dua lelaki tempatan berusia 40-an pukul 10.30 malam 1 Julai lalu kerana tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
Ujarnya, dalam operasi itu, sebanyak 40kg pelbagai jenis ikan turut dirampas daripada dua buah bot nelayan tempatan tersebut.
“Bot-bot ini merupakan sebahagian daripada sebanyak 14 buah bot nelayan yang ditahan jabatan ini kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 sejak awal tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











