IPOH 22 Julai – Lebih 33,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Perak yang akan diadakan di Ipoh Convention Centre (ICC) di sini pada 6 hingga 8 September ini.
Timbalan Pengerusi MATTA Perak, K. Sugoomahran berkata, pameran yang berlangsung selama tiga hari itu turut menyasarkan jualan pakej pelancongan sebanyak RM45 juta.
Katanya, sebanyak 149 ruang pameran yang menempatkan pemain industri pelancongan akan berada sepanjang pameran berlangsung bagi menawarkan tawaran istimewa kepada pengunjung.
“Pada edisi kali ini, kita mengadakan di ICC yang mempunyai ruang yang lebih luas dan selesa. Kesemua syarikat pelancongan, hotel dan taman tema akan menawarkan pelbagai promosi pelancongan dengan pakej menarik.
“Selain itu, sebanyak enam ruang pameran yang bakal menempatkan kira-kira 10 agensi pelancongan haji dan umrah akan turut menawarkan tawaran istimewa bagi pakej umrah kepada pengunjung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











