PASIR PUTEH – Maritim Malaysia menahan seramai 21 nelayan warga Vietnam bersama dua buah bot di lokasi kira-kira 170 Kilometer dari Kuala Tok Bali, di sini semalam.
Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, bot pertama bersama tiga orang nelayan ditahan pada pukul 1.12 petang di lokasi 170 Kilometer manakala bot kedua ditahan pada pukul 2.40 petang pada jarak 179 Kilometer bersama 18 awak-awak serta hasil tangkapan.
Beliau berkata, Kapal Maritim (KM) Pekan diketuai Pegawai Memerintah, Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik yang menjalankan Op Makmur, Op Iman dan Op Damai mengambil masa empat jam menahan bot kedua berikutan tindakan agresif bot nelayan itu yang menunjukkan keenganan mereka menyerah diri bagi pemeriksaan awal.
“Bot kedua beberapa kali melanggar bahagian sisi KM Pekan selain bertindak menjatuhkan tali dan pukat le dalam laut bagi menyekat pergerakan kapal Maritim Malaysia.
“Bot berkenaan juga melakukan pergerakan berbahaya sehingga akhirnya tersangkut di bahagian sisi KM Pekan dan anggota penguatkuasa berjaya melakukan pemeriksaan,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.
Ismail berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta termasuk dua bot dan peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan ikan sebanyak 1.05 tan dan sotong kering sebanyak 60 kilogram.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati nelayan asing bot kedua disyaki membuang alat navigasi GPS ke laut untuk menghilangkan bukti kedudukan bot dalam perairan negara.
“Pemeriksaan lanjut terhadap awak-awak nelayan asing itu mendapati hanya empat daripada mereka memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.
Katanya, kedua-dua bot dan awak-awak nelayan asing itu dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk siastan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
Tambahnya lagi, ini menjadikan statistik keseluruhan bagi Op Naga berjumlah 62 tangkapan dengan 49 daripadanya merupakan bot nelayan asing Vietnam, dua bot nelayan Thailand dan 11 bot nelayan tempatan dalam tempoh 79 hari Op berkenaan dikuatkuasakan. – K! ONLINE











