20 warga asing cemas bilik sewa terbakar - Utusan Malaysia

20 warga asing cemas bilik sewa terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Kira-kira 20 warga asing berdepan detik cemas apabila bilik sewa di sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat berhampiran Tabung Haji di Jalan Nenas di sini musnah dalam satu kebakaran malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, kebakaran membabitkan tiga unit rumah sewa yang terletak di tingkat tiga di mana setiap satunya mempunyai enam bilik sewa.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini susulan kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum api marak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.42 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian bersama dua buah jentera.

“Setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak di bahagian tingkat paling atas iaitu tingkat tiga bangunan rumah kedai itu.

“Anggota mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran itu. Bagaimanapun, sehingga kini anggota masih lagi membuat kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Samsol Maarif berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira 20 orang penghuni yang masing-masing merupakan penyewa 18 bilik sewa di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Bangunan rumah kedai ini telah dijadikan bilik sewa oleh pemiliknya yang mana setiap satu unit mempunyai enam bilik sewa.

“Siasatan awal pihak kita mendapati, kebakaran ini berpunca daripada api dapur dari salah satu unit bilik sewa yang kemudiannya menyambar struktur kayu yang dijadikan dinding bilik sewa yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan nilai kerugian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini