KUALA LUMPUR 30 Julai – Sebanyak 20 individu ditahan selepas disyaki positif pelbagai jenis dadah dalam Op Bersepadu Tindakan Khas di sebuah pusat hiburan di sekitar Jalan Kia Peng di sini semalam. Operasi yang bermula pukul 12.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Kuala Lumpur, Mohamad Hanif Omar berkata, sebanyak 53 individu telah menjalani ujian saringan air kencing dan 20 daripadanya didapati positif dadah.
“Kesemua 20 individu itu daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 50 tahun yang didapati positif dadah jenis syabu serta tetra hydrocannabinol (THC). “Kita juga telah mengambil tindakan menutup premis berkenaan serta merta selepas didapati melanggar syarat-syarat yang dilesenkan di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” katanya di sini hari ini. Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke ibu pejabat AADK Wilayah Persekutuan untuk disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – UTUSAN ONLINE











