KUALA LUMPUR 12 Julai – Bank Rakyat menerima anugerah Syarikat Terbaik Keseluruhan untuk tahun kedua berturut-turut dalam majlis Anugerah CSR Malaysia 2019 bagi komitmennya melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya terhadap kanak-kanak autistik.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bertujuan untuk memberi penghargaan kepada syarikat sebagai pemangkin perubahan dalam transformasi sosioekonomi Malaysia.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani yang menerima anugerah itu berkata, pengiktirafan buat kali kedua itu adalah manifestasi usaha yang berkesan dilaksanakan oleh Bank Rakyat sejak 2016 bagi membantu golongan autistik di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme menerusi kempen #AnakKita.
Tambahnya, pengiktirafan ini juga tidak mungkin mampu dicapai tanpa kerja keras, semangat dedikasi dan kreativiti warga kerja bank serta persatuan yang terlibat dalam merancang pelaksanaan inisiatif CSR bagi membantu komuniti kurang bernasib baik.
“Melangkah ke hadapan, kami akan memastikan bahawa agenda CSR kami adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti Matlamat 1 – Tiada kemiskinan, Matlamat 2 – Tiada kelaparan, Matlamat 4 – Pendidikan berkualiti dan Matlamat 13 – Tindakan berkenaan iklim,” katanya di sini.
Bagi tahun 2019 dan 2020, katanya, Bank Rakyat akan meneruskan komitmennya dalam melaksanakan inisiatif CSR dengan menyalurkan sumbangan makanan bernutrisi kepada kanak-kanak golongan B40 menerusi program Nuri Nutrisi yang mula dilancarkan awal tahun ini.
“Di bawah program ini, Bank Rakyat dengan kerjasama United Nations Country Team (UNCT) di Malaysia telah merangka 200 program bagi membantu 20,000 kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara untuk mendapatkan makanan berkhasiat.
“Program ini bertujuan bagi mewujudkan ‘Kehidupan Lestari’ untuk komuniti setempat dengan pelbagai usaha untuk meningkatkan status pemakanan masyarakat, serta bagi melindungi keperluan sosial penduduk tempatan termasuk bukan warganegara, selaras dengan slogan SDG UNCT – ‘tiada yang terpinggir’,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama antara Bank Rakyat dengan UNCT ini telah memenuhi aspirasi Bank untuk menjadi organisasi tempatan pertama yang diiktiraf oleh UNCT bagi berkolaboratif dalam program SDG.
“Langkah-langkah kelestarian akan terus menjadi teras kepada inisiatif dan strategi CSR Bank pada masa akan datang ke arah mencapai aspirasi kami untuk menjadi ‘Bank Lestari’ pertama di Malaysia,” tambah Nizam.
Katanya, komitmen Bank Rakyat terhadap pembangunan komuniti juga telah diiktiraf di peringkat Asia apabila Bank Rakyat mengungguli kategori ‘Pemerkasaan Sosial’ di Asia Responsible Enterprise Awards 2019 (AREA 2019) baru-baru ini.
Anugerah oleh CSR Malaysia ini adalah pengiktirafan keempat yang diterima oleh Bank Rakyat untuk sumbangannya di bawah program Autisme #AnakKita. – UTUSAN ONLINE











