KUALA LUMPUR 30 Julai – Dua lelaki tempatan yang disyaki sebagai penghantar dadah ditahan dalam satu operasi di sekitar Taman Serdang Perdana, dekat sini pada Sabtu lalu. Operasi yang dijalankan bermula pukul 6 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah Serdang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R. Sundralingam berkata, pihaknya telah menahan sebuah kereta Volkswagen pada pukul 6.30 petang yang dinaiki kedua-dua suspek. “Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek berusia 37 dan 25 tahun itu dan menemui tiga peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis ketamin (57.9 gram) serta 22 peket plastik disyaki serbuk dadah jenis ekstasi seberat 0.65 kilogram. “Kita percaya dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM9,000 dan akan dibekalkan ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mengulas lanjut, siasatan turut mendapati kedua-dua suspek telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan mengambil upah sebagai penghantar dadah kepada individu tertentu dengan upah RM300 hingga RM500 oleh ahli sindiket. Katanya, siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terlibat dan kesemua suspek kini sedang direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











