Zulfahmi masih menyengat - Utusan Malaysia

Zulfahmi masih menyengat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Pirelli Malaysia 2019 kembali menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang, minggu ini.

Seperti biasa, empat kategori perlumbaan akan dilangsungkan iaitu kelas MSBK250, MSBK600, MSBK1000 Superstock dan MSBK1000 Superbike. Untuk memeriahkan lagi kejuaraan MSBK musim ini, saingan

Pusingan 3 Idemitsu Asia Talent Cup 2019 turut tersenarai sebagai perlumbaan sokongan yang akan menampilkan 20 pelumba di rantau ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hari ini, MSBK membuka gelanggang dengan sesi latihan bebas yang menyaksikan pelumba pasukan SIC Junior ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin tampil cemerlang dalam kelas MSBK1000 Superbike.

Bekas pelumba Moto2 negara itu, menamatkan sesi latihan itu dengan catatan masa terpantas 2 minit 13.211 saat (s)

Walaupun agak lama menyepi, namun Zulfahmi yang menggunakan jentera BMW, masih memperlihatkan gaya tunggangan yang menakjubkan.

“Saya sudah lama tidak beraksi dan penyertaan saya pada MSBK kali ini merupakan permulaan untuk saya kembali berlumba. Mungkin juga penampilan saya pada MSBK ini sebagai lagkah pertama untuk kembali aktif dalam perlumbaan kompetitif,” kata Zulfahmi.

Pelumba berusia 27 tahun itu dilihat sebagai pelumba pilihan untuk menguasai kelas MSBK1000 Superbike, walaupun dia bakal berdepan cabaran daripada pelumba pasukan Horizon Racing Team, Farid Badrul.

Pada sei latihan bebas pertama hari ini, Farid melakukan catatan kedua terpantas iaitu 2:14.714s. Pada edisi kali ini, juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman tidak beraksi atas sebab-sebab tertentu. Kelas MBSK1000 Superbike bakal menyaksikan persaingan daripada tujuh pelumba.

Esok, mereka bakal mengharungi Pelumbaan 1 dalam misi untuk memburu kemenangan podium pertama musim ini. Bagi kelas MBSK1000 Superstock, Shahrulnizam Ramli yang menunggang jentera BMW turut memperlihatkan watak sang juara dengan catatan sepusingan terpantas 2:16.564s.

Catatan yang dilakukannya itu memberi petanda awal bahawa dia mampu menguasai perlumbaan sebenar, esok, walaupun saingan untuk memburu penyudah podium bagi kelas itu dilihat lebih terbuka kepada semua pelumba.

Sesi latihan bebas lain yang turut berlangsung, hari ini adalah untuk kelas MSBK600 dan seperti dijangka, Kasma Daniel Kasmayudin tampil terpantas dengan catatan masa 2:14.168s.

Begitupun, pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia itu dicabar hebat oleh seorang lagi jaguh tempatan, Azroy Hakeem Anuar yang menamatkan saingan, hari ini dengan catatan 2:14.555s.

Bagi kelas MSBK 250 pula, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Nazirul Izzat M Bahauddin tampil dengan kelas tersendiri apabila menamatkan sesi latihan, hari ini dengan catatan masa 2:31.385s.

Bermula tahun ini, MSBK yang sebelum ini dikelolakan oleh Litar Antarabangsa Sepang, akan dikendalikan oleh Two Wheels Motor Racing (TWMR). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini